"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Iraq cuti seminggu, isytihar IS tewas

FMT Reporters

MOSUL: Perdana Menteri Iraq Haider al-Abadi semalam mengisytiharkan IS sudah dihapuskan, 3 tahun selepas kumpulan itu menawan bandar Mosul untuk menjadikannya pusat pentadbiran sebuah “khilafah” untuk memerintah dunia.

“Dari sini, saya mengumumkan kegagalan dan berakhirnya sebuah negara palsu ditubuhkan pengganas Daesh yang didirikan di Mosul,” katanya dipetik Reuters dalam ucapan disiarkan di televisyen, merujuk istilah Arab untuk kumpulan militan itu.

Oktober lalu, pakatan tentera Iraq bersama pejuang Kurdish dan Syiah dibantu tentera bersekutu dipimpin Amerika Syarikat berjaya menawan semula bandar di utara negara itu.

Iraq mengumumkan cuti satu minggu untuk menyambut kemenangan itu, dan orang ramai berpusu-pusu ke jalan raya di bandar raya Baghdad dan beberapa bandar lain meluahkan kegembiraan.

Berdiri di mimbar Masjid al-Nuri pada Julai 2014, pemimpin IS, Abu Bakr Al-Baghdadi mengisytiharkan dirinya seorang “khalifah” untuk seluruh umat Islam.

Klip ucapannya itu merupakan kali pertama dan satu-satunya klip mendedahkan wajahnya kepada dunia.

Sebelum ini, pegawai Iraq berharap dapat menawan kembali masjid itu menjelang Aidilfitri Ahad ini.

Masjid al-Nuri yang berusia lebih 1,000 tahun itu bagaimanapun dihancurkan oleh IS pada 22 Jun lalu.

Tiada ulasan: