Zuliaty Zulkiffli

Anggota bomba membantu membawa turun mangsa dari bumbung rumah. – Foto bomba
PENDANG: Seorang pekerja pendawaian meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik, selepas ditemukan tidak sedarkan diri atas bumbung sebuah rumah di Kampung Manggol, Ayer Puteh, di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Mohd Rosli Yusof berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 12.30 tengah hari.
Pasukan bomba bergegas ke lokasi membantu membawa turun mangsa, sebelum lelaki itu dibawa dengan ambulans ke Hospital Pendang.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia jam 2 petang ketika menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, mangsa dipercayai terkena renjatan ketika memotong paip PVC mengandungi wayar elektrik.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, ” katanya.