"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno Johor cemas: Shahrir buat pusingan U kerana panik tsunami politik Melayu

BORHAN AHMAD 
Shahrir buat pusingan U kerana panik tsunami politik Melayu, kata PHTan Sri Shahrir Abd Samad disifatkan membuat pusingan U apabila mengumumkan bertanding juga dalam pilihan raya umum akan datang selepas mengumumkan bersara sebelum ini.

Menurut Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali, Shahrir yang menzahirkan hasrat beliau untuk berdepan nama-nama besar dari pakatan pembangkang di Johor pada pilihan raya umum ke-14 membuktikan bahawa Umno pada ketika ini berada dalam keadaan sangat panik dengan bahang kebangkitan tsunami politik Melayu.

Katanya, Shahrir merupakan vateren Umno, yang dikhabarkan oleh banyak pihak memilih untuk bersara dari menyertai pilihan raya umum yang akan datang.

“Namun saya melihat, disebabkan panik dengan perkembangan positif sokongan orang Melayu untuk lakukan perubahan di Johor, Shahrir terpaksa membuat ‘u-turn’ dan mahu kekal bertarung dalam PRU ke-14,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walau apa juga pendirian diambil Shahrir, ia tidak sedikit pun menggugah Pakatan Harapan, katanya.

Sebaliknya, ia memberi gambaran bahawa Umnolah yang sedang ‘goyang’ dengan kemaraan rakyat di negeri paling selatan ini, tambah pegawai khas ahli parlimen Kluang itu lagi.

“Pada satu sisi lain, saya berpandangan Shahrir merupakan individu yang tidak kurang istimewa dan dilihat intim dengan Najib Razak, Perdana Menteri yang dihebohkan dengan jolokan kleptokrat!

“Lihat sahaja bagaimana reaksi beliau tatkala dikaitkan dengan isu penerimaan wang RM1 juta sewaktu skandal 2.6b dan 1MDB mula hangat diperkatakan awal-awal dahulu.

“Ini agak kontra dengan pendekatan Menteri Besar Khaled Nordin yang dilihat sering menjarakkan Umno Johor pimpinannya dari imej rasuah pimpinan Najib di peringkat pusat,” katanya.

Justeru, katanya, penyertaan Shahrir dalam PRU ke-14 yang akan datang akan memudahkan lagi rakyat di negeri ini untuk menilai antara dua pilihan.

Calon-calon PH yang bekerja keras untuk agenda perubahan demi rakyat, atau calon-calon Umno Johor yang kononnya tidak mahu dikaitkan dengan kleptokrasi namun hakikatnya terus bersekongkol dengan mengangkat ‘kawan istimewa Najib’ untuk berpencak dalam PRU ke-14 nanti, katanya.

Rakan beliau dari PKR, Akmal Nasir juga sependapat.

Keputusan Shahrir untuk membuat pusingan-U dengan kembali menawarkan diri untuk bertanding pada PRU14 di Parlimen Johor Bahru bukanlah sesuatu yang mengejutkan, katanya.

“Ini bukanlah kali pertama beliau menukar pendirian. Sebelum ini juga terdapat desas-desus beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum Ke-13,” katanya.

Beliau telah menyatakan hasratnya untuk bersara pada Mac 2016 dengan memberi alasan bahawa beliau ingin memberi peluang kepada generasi muda.

“Pandangan saya ialah anda harus memberi kepercayaan kepada anak muda, jika anda tidak dapat menunjukkan bagaimana anda menaruh kepercayaan kepada golongan muda, maka apa gunanya bercakap,” kata Sharir sebagaimana dilaporkan media.

Dengan keputusan terbaru beliau, Akmal berpendapat terdapat beberapa kemungkinan.

Setelah hampir setahun setengah Shahrir menyatakan pendirian untuk tidak bertanding, Umno Johor gagal mengetengahkan mana-mana orang muda yang berbakat di Johor Bahru seperti yang dijanjikan oleh Shahrir.

Ini memberi gambaran seolah-olah UMNO Johor tiada pemimpin pelapis.

Shahrir atau Umno Johor sendiri telah hilang keyakinan dengan kemampuan pemimpin yang masih tinggal dalam Umno terutamanya Umno Johor dan Umno Johor Bahru.

“Tetapi apa yang pasti, saya percaya pendirian flip-flop Tan Sri Shahrir Samad adalah berkemungkinan besar mengikut kehendak Datuk Seri Najib Razak,” katanya yang juga penyelaras PKR Johor Bharu.

Katanya, kesetiaan beliau kepada Perdana Menteri boleh dianggap setaraf jika tidak lebih tinggi berbanding dengan Datuk Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian.

Ini adalah mengambil kira kelantangan Shahrir selama ini mempertahankan Najib terutamanya dalam soal 1MDB, menyokong pelaksanaan GST dan seterusnya dilantik sebagai pengerusi Felda.

Katanya, walau apapun keputusan Tan Sri Shahrir, Pakatan Harapan Johor Bahru yakin dengan kematangan pengundi dan akan terus menumpukan kepada gerak kerja dan mengangkat isu-isu rakyat terutamanya soal ekonomi, kos sara hidup, gaji dan peluang pekerjaan.

Tiada ulasan: