"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRU14: Penganalisis beri 3 sebab Azmin akan tewas di Gombak

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali mungkin berdepan kekalahan di kerusi Parlimen Gombak sekiraya beliau membuat keputusan untuk bertanding di situ pada pilihan raya umum nanti, kata seorang penganalisis politik.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia di Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff memberikan 3 sebab untuk ramalan itu.

Sebab pertama ialah 2 daripada 3 kerusi DUN iaitu Gombak Setia dan Hulu Kelang di Gombak adalah kubu kuat PAS dan dimenangi oleh parti Islamis itu pada pilihan raya lepas, sementara PKR hanya mengekalkan kerusi Batu Caves.

Sebab kedua pula PAS bukan dalam gabungan Pakatan Harapan dan Adun Hulu Kelang Saari Sungib dari Amanah tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Azmin.

Sebab ketiga, menurut Kamarul, ialah pengundi Selangor mungkin akan menyokong bekas menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang mengatakan akan membantu Barisan Nasional merampas Selangor daripada PH pada PRU14.

Kamarul berkata sekiranya Azmin mahu mengekalkan kerusinya di Selangor, beliau perlu membetulkan keutamaannya.

“Kawasan itu mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar, termasuk penyokong PAS. Sebab itu pemimpin PKR Selangor tertentu bercakap tentang kemungkinan Azmin akan bertanding di tempat lain.

“Ini juga menjelaskan mengapa Pakatan Selangor berdepan masalah dalam menyelesaikan pengagihan kerusi negeri dalam kalangan parti komponen walaupun tempoh akhir pada 31 Januari. Sekarang ia dilanjutkan 1 minggu lagi,” katanya kepada FMT.

Dzulkefly Ahmad dari Amanah memberitahu FMT bahawa PH melanjutkan rundingan pengagihan kerusi DUN Selangor untuk seminggu lagi. Beliau berkata langkah itu perlu supaya satu penyelesaian boleh dicapai.

Kamarul berkata masalah sekarang ini bukan sama ada rakyat menyukai Azmin sebagai menteri besar, tetapi lebih kepada sokongan Amanah, DAP dan ahli PKR kepadanya.

“Disukai rakyat mungkin tidak bermakna apa-apa kalau dia tidak dipilih semula atau dia tidak mendapat sokongan secukupnya daripada parti komponen dalam gabungan pembangkang.”

Masalah itu diburukkan lagi dengan tekad menteri besar terdahulu, Khalid, yang mahu berkempen menentang Azmin dan PH.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Azmin menewaskan calon BN, Said Anuar Said dengan perbezaan 6,867 undi. Pada pilihan raya seterusnya, iaitu Mei 2013, beliau menewaskan pencabarnya, Raman Ismail dari BN, untuk mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 4,734 undi.

PKR ketika itu sekutu PAS dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Pada 7 Januari, PH mengumumkan hasil rundingan pengagihan kerusi Parlimen bagi Malaysia Barat, iaitu PPBM diberi 52 kerusi, PKR 51 kerusi, DAP 35 kerusi dan Amanah 27 kerusi.

Tiada ulasan: