FMT Reporters
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua beradik yang juga tokoh korporat kerana disyaki bersubahat menyeleweng dan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.
Perintah reman selama lima hari sehingga 6 Oktober ini terhadap dua beradik bergelar ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk Wira’ itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi, lapor Utusan Malaysia.
Dua beradik berusia 40 dan 50an ditahan kira-kira 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada penghujung tahun 2020.
Mereka juga dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan yang berasaskan pendidikan untuk meluluskan pelaburan berjumlah kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada suspek pertama.
Susulan siasatan itu, SPRM menyita 15 kereta mewah, 12 motosikal berkuasa tinggi, lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan dan wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman yang mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan