"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adly Zahari angkat sumpah ketua menteri Melaka

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Adly Zahari hari ini mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka ke-11.
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Utama, Seri Negeri, Ayer Keroh pada 3.50 petang.

Adly, 47, yang juga pengerusi Pakatan Harapan Melaka dan pengerusi AMANAH Melaka turut melafazkan sumpah jawatan dan taat setia serta kerahsiaan yang perlu beliau patuhi dalam tempoh memegang jawatan ketua menteri.
Turut hadir, anggota Parlimen Hang Tuah Jaya yang juga Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin, Anggota Parlimen Alor Gajah yang juga Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Mohd Redzuan Yusof, Anggota Parlimen Kota Melaka yang juga Setiausaha DAP Melaka Khoo Poay Tiong dan Anggota Parlimen Tangga Batu Dr Rusnah Aluai.

Hadir sama dalam upacara istiadat berkenaan ADUN Bandar Hilir yang juga pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew, ADUN Paya Rumput yang juga Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Mohd Rafiq Naizamohideen, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan bekas Ketua Menteri Melaka iaitu Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Datuk Seri Idris Haron.

Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka melalui majoriti mudah apabila menakluk 15 kerusi DUN Melaka daripada keseluruhan 28 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.

Pakatan Harapan turut memenangi empat daripada enam kerusi Parlimen iaitu Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka.

Pada PRU14, Adly mengalahkan calon BN Yunus Hitam dan calon PAS Muhamat Puhat Bedol dengan majoriti 3,159 undi dalam pertembungan tiga penjuru di kerusi Bukit Katil.
- Bernama

-----------------------
Malaysiadateline
Adly angkat sumpah Ketua Menteri Melaka hari ini
Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Melaka Adly Zahari mengangkat sumpah bagi jawatan Ketua Menteri Melaka bagi penggal ke 14 hari ini.

Upacara yang berlansung jam 4.00 petang tadi di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakub.

Adly, yang mewakili AMANAH, memenangi kerusi Dun Bukit Katil pada pilihan raya umum ke-14 pada Rabu lalu.

Pada PRU14, BN tumbang apabila hanya memenangi 13 daripada 28 kerusi Dun Melaka. Pecahan kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Harapan yang mewakili kerusi AMANAH (2), Bersatu (2), PKR (3) dan DAP (8).

Turut hadir Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan isteri Normah Ali dan barisan kepimpinan Pakatan Harapan di Negeri Melaka.

Tiada ulasan: