"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanipa minta Hadi diam jika tidak tahu apa-apa

MALAYSIA DATELINE
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin menyarankan supaya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya berdiam diri sahaja daripada mempertahankan Akta Hasutan yang hangat diperkatakan sejak penahanan pendakwah, Ustaz Wan Ji Wan Husein.

Kata beliau, adalah lebih baik Hadi berdiam diri kerana bagi beliau, Anggota Parlimen Marang itu tidak mengetahui apa-apa mengenai Akta berkenaan.

Jelasnya, isu yang dibangkitkan bukan setakat salah guna, tetapi sebaliknya Akta berkenaan merupakan undang-undang yang zalim.

“Contohnya dalam Akta ini kebenaran kata-kata bukan satu pembelaan (a defence). Tahukah YB bahawa di bawah Akta ini pendakwa tak perlu buktikan pun kata-kata seseorang itu menghasut. Cenderung menghasut sahaja sudah salah YB. Bayangkan jika cenderung mencuri pun sudah salah.

“Bukankah YB selalu ajar pada orang bawah YB bahawa dalam Islam cenderung kepada kezaliman pun tak boleh, nanti kena sentuh api neraka. Menyokong Akta ini, YB , bagi saya, bukan lagi cenderung kepada kezaliman, ia dah masuk dalam kategori menyokong kezaliman itu sendiri,” tulis Anggota Parlimen Sepang itu dalam facebooknya hari ini.

Ujar Hanipa beliau pernah disiasat di bawah Akta tersebut, pernah mewakili anakguam yang didakwa di bawah Akta tersebut serta menyaksikan sendiri bagaimana Barisan Nasional (BN) menambah lagi “kezalimannnya” dari kezalimannya yang sedia ada.

Beliau dipercayai mengulas berita yang melaporkan Hadi menggesa kerajaan supaya mengekalkan Akta Hasutan 1948, tetapi meminta takrif hasutan untuk dibincangkan dengan lebih jelas supaya undang-undang itu tidak disalahgunakan.

Perdana Menteri sebelum ini pernah mengesahkan untuk memansuhkan Akta berkenaan dan menggantikannya dengan undang-undang baharu.

Tiada ulasan: