"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib sebenarnya minta jadi pengerusi BN, bukan penasihat

Anggota Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz berkata Najib Razak meminta untuk menjadi pengerusi BN semula dan bukannya pengerusi lembaga penasihat BN.

Nazri mendakwa, bekas presiden Umno itu mahu mengambil kesempatan apabila menyedari BN boleh menang kembali hasil kerjasama dua parti berkenaan.

"Saya tahu jawatan yang dipohon sebenarnya pengerusi BN, bukan pengerusi lembaga penasihat (BN), bila dia (Najib) lihat masa depan kita cerah dengan PAS.

"Mahu jadi PM (perdana menteri) lagi ke? Bagilah peluang kepada anak-anak muda, pimpinan baru, cukuplah," katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian Padang Rengas, yang turut disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Nazri dan Khairy masing-masing sebelum ini dilihat tidak senang dengan pelantikan Najib sebagai pengerusi penasihat BN.

Khairy mengakui bahawa dia tidak gembira dengan pelantikan Najib, semantara Nazri menyifatkan ia sebagai langkah ke belakang.

Dalam ucapannya hari ini, Nazri mengaku bahawa dia terkejut apabila mengetahui jawatan itu diwujudkan dan seterusnya diberikan kepada Najib.

Namun, katanya, reaksi yang diberikannya adalah reaksi sebenar yang dia tida boleh sembunyikan.

Susulan itu, kata Nazri, ramai pihak yang marah kepadanya.

"Kerana budaya Umno ini masih lagi tidak sedar, masih lagi dengan sistem malu alah, mungkin termakan budi begitu banyak sekali dengan mantan presiden kita (Najib), sehingga tidak dapat membuat kesimpulan bahawa cadangan itu tidak baik," katanya.

MT, naib presiden tak dimaklumkan

Tambah Nazri, kerjasama PAS dan Umno yang ada hari ini dipelopori oleh pemimpin parti ketika ini, dan bukannya ketika Najib menjadi presiden parti.

"Pada peringkat permulaan, (dimulakan) Zahid Hamidi. Kemudian dia berehat, (diteruskan) Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

"Tiba-tiba apabila menampakkan satu kejayaan yang membanggakan, dan kita boleh nampak satu masa nanti pada pilihan raya akan datang kita boleh menang, tiba-tiba timbul cadangan (melantik Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat BN) ini," katanya.

Mengulas tanggapan yang melihatnya sebagai penyokong tegas Najib sebelum ini, Nazri menegaskan bahawa kesetiaannya ada perjuangan dan parti, bukan individu.

"Minta maaf saya tidak pernah setia pada individu...yang Datuk Seri Najib sebut walak, pada perhimpunan tahun lepas, walak itu pada perjuangan, walak kepada parti bukan kepada individu.

"Ahli Umno kena ingat, kesetiaan itu kepada parti bukan pada individu, dan kalau dulu saya dikatakan setia kepada Najib, (sebenarnya) bukan setia kepada Najib, tapi kepada presiden parti," jelasnya

Justeru, Nazri merayu sekiranya Najib sayangkan Umno untuk memberi peluang kepada kepemimpinan baru menguruskan parti itu.

Nazri turut mengingatkan Zahid bahawa beliau bukan lagi setiausaha politik kepada Najib, sebaliknya adalah presiden parti.

Ia ekoran keputusan diambil Ahmad melantik Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat BN tanpa mengambil kira padangan pimpinan parti yang lain.

Malah kata Nazri, naib presiden Umno dan Majis Tertinggi (MT) tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

Tiada ulasan: