Ho Kit Yen
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membenarkan kerajaan merampas RM100,000 dana 1MDB daripada Hasan Malek, selepas bekas menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan itu tidak memfailkan respons terhadap saman pelucuthakan sivil yang difailkan terhadapnya.
“Kami juga tidak menerima sebarang permohonan pihak ketiga yang mahu mencabar saman itu,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat kepada mahkamah hari ini.
Peguam Hasan, Muhammad Iqbal Ismail berkata, anak guamnya tidak menolak saman itu.
Hakim Zaini Mazlan menetapkan 4 dan 5 Disember ini untuk mendengar saman pelucuthakan yang difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap Umno, Wanita MCA, Umno Sabah dan 2 syarikat – Binsabi Sdn Bhd serta Perano Sdn Bhd, yang didakwa menerima dana 1MDB.
Mereka antara 41 entiti dan individu yang didakwa SPRM menerima kira-kira RM270 juta daripada akaun bank Najib Razak.
Mahadi berkata, satu warta persekutuan dikeluarkan pada 24 Julai lalu untuk memanggil pihak ketiga mencabar saman itu, tetapi tiada pihak yang tampil.
Zaini mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan penghujahan sebelum 27 September ini dan 5 yang lain memberi respons menjelang 18 Oktober ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan