"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adun Sanglang kritikal

Adun Sanglang Mohd Shukri Ramli yang kini diletakkan di bawah pengawasan rapi di Unit Rawatan Koronori (CCU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar kini dilaporkan kritikal.

Ketua Penerangan PAS Perlis Dr Saifizi Saidon dalam satu kenyataan, berkata atas nasihat doktor hanya ahli keluarga terdekat Pesuruhjaya PAS Perlis itu sahaja boleh melawat manakala individu lain diminta menangguhkan hasrat terlebih dahulu sehingga dimaklumkan kelak.

"PAS Perlis juga sedang giat mengemaskini sebarang perkembangan terkini mengenai kesihatan beliau (Mohd Shukri) dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan sebarang maklumat yang bukan datang dari sumber rasmi parti," kata Saifizi.

Saifizi turut meminta orang ramai untuk terus mendoakan kesejahteraan dan mengadakan solat hajat untuk Mohd Shukri.

Media melaporkan kira-kira 10 malam tadi, Mohd Shukri secara tiba tiba rebah dan tidak sedarkan diri ketika menyampaikan ucapan pada Ceramah Perdana Muafakat Nasional peringkat negeri di Dewan 2020.

Beliau diberikan bantuan awal oleh Unit Medik, Jabatan Amal PAS dan kemudian dikejarkan ke HTF oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Perlis.
-Bernama

Tiada ulasan: