"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM rampas RM600,000 dari rumah dua ahli Armada

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM600,000 dari rumah dua anggota Pemuda Bersatu (Armada).

Menurut laporan The Star, wang tersebut dipercayai milik parti itu.

Pengarah siasatan SPRM, Norazlan Mohd Razali dipetik sebagai berkata, kedua-dua ahli Armada itu disoal siasat pada 5 Jun lalu berhubung laporan yang dibuat oleh Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman berhubung kehilangan RM250,000 dari peti simpanan di rumahnya.

"Setelah disoal siasat, pegawai pergi ke rumah kedua-dua anggota berkenaan di dua lokasi berasingan di Kuala Lumpur.

"Para pegawai menemui sejumlah RM600,000 wang tunai di dua lokasi," katanya.

Laporan itu menambah SPRM juga merampas sebuah kereta berharga RM100,000 milik pihak ketiga yang dipercayai telah dibeli menggunakan dana yang disalahgunakan.

Ahli Armada yang menyokong bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mendakwa SPRM melakukan intimidasi terhadap mereka yang menentang kerajaan Perikatan Nasional (PN).

SPRM menolak dakwaan bahawa siasatan berkenaan bermotifkan politik dan menegaskan suruhanjaya itu hanya menyiasat aduan yang dibuat Syed Saddiq berhubung kehilangan wangnya pada Mac lalu.

Mahathir, yang disokong Syed Saddiq terlibat dalam perebutan kuasa dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk menguasai Bersatu dan kerajaan.

Tiada ulasan: