"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM tahan 2 pengurus GLC disyaki rasuah RM800,000

FMT Reporters

Dua lelaki yang merupakan pengurus besar dan pengurus akaun sebuah GLC dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pengurus besar dan pengurus akaun sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana disyaki menerima rasuah lebih RM800,000 mulai 2012 hingga 2016.

Pengarah Siasatan SPRM, Norazlan Mohd Razali berkata 2 lelaki itu disyaki menerima rasuah daripada syarikat pembekal berhubung kontrak sistem jalur lebar sebuah agensi kerajaan bernilai jutaan ringgit.

Katanya, kedua-duanya ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya kira-kira 4.30 petang semalam.

Beliau berkata, SPRM turut menggeledah beberapa premis di sekitar Lembah Klang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.”

Seksyen 17(a) Akta SPRM yang mula dikuatkuasakan 1 Jun lalu, menyatakan syarikat yang terbabit rasuah boleh didakwa, jika individu yang dikaitkan dengan entiti komersial itu memberi, berjanji atau menawarkan rasuah untuk mendapat atau mengekalkan perniagaan.

Ia memperuntukkan denda RM1 juta atau 10 kali ganda nilai suapan, dan/atau hukuman penjara.

Dua suspek itu dilaporkan direman 6 hari mulai hari ini.

Tiada ulasan: