"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Presiden Pas suka Umno-Bersatu tapi penyokong menaruh curiga

ARIF ATAN

Ketika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu parti itu tidak boleh berpisah dengan Umno dan Bersatu, lain pula reaksi sebahagian penyokong Pas.

Ada berpendapat Abdul Hadi perlu berwaspada dengan kelicikan politik Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Semalam, Abdul Hadi memuat naik gambar pertemuannya dengan Muhyiddin dan Zahid di Facebook dengan mendakwa ketiga-tiga parti itu berjaya disatukan.

“Kita berjaya menyatukan ketiga-tiga parti. Kita tak boleh berpisah dengan Umno, tak boleh berpisah dengan Bersatu,” kata Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu.

Susulan gambar ketiga-tiga pemimpin yang saling tersenyum itu, pengguna Facebook, Haiqal Hadi mengingatkan tentang ‘lakonan mantap’ Muhyiddin dan Zahid.

“Zahid dengan Muhyiddin memang tak boleh percaya. Nak lama dalam politik kena main kotor, merekalah orangnya.

“Tak menang besar (pilihan raya umum) pun tak mengapa. Yang penting sampai hujung nyawa Tok (Abdul Hadi) bersih. Lagi dua itu lakonan memang mantap,” sinisnya.

Komentar Haiqal tersebut terdapat dalam hantaran Abdul Hadi berkenaan pendirian Pas tidak boleh berpisah dengan Umno dan Bersatu itu.

Melepaskan tengkuk

Turut menaruh curiga dengan penyatuan Pas bersama kedua-dua parti itu ialah Abd Rahim Yusof yang mengingatkan tentang musang berbulu ayam.

“Salam tuan guru (Abdul Hadi) kena berjaga dengan musang berbulu ayam ini. Sudah terang-terang dia pasti akan mengkhianati perjuangan ini.

“Lupakah kita sebelum ini apa yang dia kata pada parti Pas secara umum sebelum-sebelum ini?

“Dia pernah menghina Pas dan Umno. Saya rasa parti Pas bagi dia hanya untuk melepaskan tengkuknya di waktu dia tersepit sahaja,” tegas Abd Rahim lagi.

Perlambangan bagai duri dalam daging juga digunakan dalam menggambarkan sifat Bersatu dalam penyatuan ketiga-tiga parti yang didakwa Abdul Hadi.

“Bersatu ini umpama duri dalam daging saja. Tengoklah nanti,” tempelak Ismail Ahmad manakala Zulhairy Suhaimi pula menulis, “Tapi Bersatu ada sesuatu di balik batu.”

Kecurigaan penyokong Pas terhadap Bersatu dilihat berkaitan tindakan mengejut parti bunga raya itu keluar Pakatan Harapan (PH) sekali gus menumbangkan kerajaan yang baru berusia 22 bulan.

“Tolonglah jangan terima Bersatu. Nanti kena ‘lipat’. Percayalah,” kata pengguna Facebook, Fakhrul Sha pula.

Tiada ulasan: