"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kehebatan ‘matahari buatan’ China

DR IR MUHIDIN ARIFIN

PADA November 2018, China telah menggemparkan dunia apabila melancarkan sebuah 'bulan tiruan buatan manusia’ untuk menerangi Chengdu – sebuah bandar purba di Wilayah Sichuan.

Bandar ini pernah dikenali sebagai Chengtu dan dianggap 'Negara di Syurga’ oleh masyarakat China. Paling menarik, 260 daripada syarikat yang disenarai dalam Fortune 500, terletak di Chengdu.

Menjelang 2022, Pusat Pelancaran Satelit China diketuai Wu Chunfeng akan melancarkan tiga lagi `bulan tiruan’.

Pada ketika itu, berita `bulan buatan China’ mendapat publisiti meluas di seluruh dunia. Pada bulan ini, China kembali menggegarkan dunia.

Pada ketika semua negara di dunia bergelut melawan pandemik koronavirus (Covid-19), China terus ke hadapan mencipta `matahari buatan’.

China berjaya mengaktifkan reaktor pelakuran atau fusion reactor. Dengan kata ringkasnya, China telah menghasilkan reaktor peleburan nuklear yang memberi negara itu bahan bakar untuk satu jangka masa sangat panjang.

Kejayaan projek ini bermakna China mencapai penanda aras baharu dalam misi tenaga pelakuran atau fusion energy mission.

Ia bermakna China boleh mengekalkan suhu melampau lima kali lebih lama daripada penanda aras sebelum ini iaitu membekal suhu sehingga 120 juta Selsius (C) dalam tempoh 100 saat.

Mengapa China perlukan matahari buatan? Penulis percaya China tidak lagi mahu bergantung kepada sumber bahan bakar sedia ada.

Justeru, China membuka sumber tenaga bersih, menggunakan tenaga nuklear fusion iaitu Supercondusting Advanced Exsperimental Tokamak (EAST) yang terletak di Wilayah Hefei.

Amerika Syarikat, Eropah, Rusia dan Korea Selatan, yang terkejut dengan kejayaan China ini, dikatakan telah mula mencari formula serupa dalam tempoh terdekat ini.

Malah, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) minggu ini telah memberi peringatan tentang kehebatan China.

Bahan bakar

Penambahbaikan EAST telah mencatat suhu plasma 120 juta darjah celsius selama 101 saat.

EAST juga berjaya mempertahan suhu 160 juta darjah celsius selama 20 saat. Kejayaan ini bermakna China jauh meninggalkan negara-negara maju yang lain dalam perihal penggunaan bahan bakar.

Penulis percaya saintis China memanfaatkan sepenuhnya apa yang terkandung dalam al-Quran seperti yang dinyatakan dalam Surah Yunus dan Surah An-Nahl. Keradioaktifan wujud secara semula jadi tetapi perkara berkenaan tidak diketahui sehingga akhir kurun ke-19.

Bagaimanapun, dalam Surah al-Hadiid ayat 25, ALLAH SWT menyatakan: “Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan.

Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya ALLAH mengetahui siapa yang menolong agama-Nya dan rasul-rasul-Nya padahal ALLAH tidak dilihatnya. Sesungguhnya ALLAH Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

Daripada apa yang penulis kaji, kejayaan mencipta Reaktor Tokamah model HL-2M ataupun ‘Matahari Buatan’, bermakna China telah mengawal bahan bakar terkawal pada saat dunia mengalami krisis.

Penghasilan tenaga pelakuran secara komersil menjelang 2050 dan daya reaktor daripada medan magnet yang terjadi pada gelung plasma panas sehingga suhunya mencapai 150 juta Celsius atau 10 kali ganda kepanasan di bumi daripada cahaya matahari; bermakna China mampu melakukan apa sahaja selepas ini.

Kejayaan ini juga bermakna China hampir berjaya menyelesaikan isu kekurangan tenaga dan bahan bakar. Pada masa yang sama, mendorong peningkatan pembangunan tenaga, ekonomi nasional dan pengurangan kos pengeluaran tenaga pelekuran.

Kini jelaslah bahawa China telah menepati hasratnya untuk mencapai pengeluaran komersial tenaga gabungan pada 2050. Penghasilan matahari buatan menelan belanja besar tetapi memberi pulangan berbaloi kepada China.

Kini timbul satu persoalan kepada penulis. Adakah rantaian pandemik Covid-19 di China, dikawal menerusi pusat pelekuran nuklear matahari buatan di Hefei, Anhui China yang terletak 370 kilometer dari Wuhan.

Penghasilan haba lima kali ganda daripada sumber sekarang menyebabkan kehancuran virus Covid-19. Kesimpulannya penulis mencadangkan agar saintis di negara ini kembali kepada al-Quran. Semaklah apa yang ada di dalam al-Quran.


* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (UNISEL)

-sinarharian

Tiada ulasan: