"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Saya masih MB' - Ahmad Samsuri

Nur Fazlizai Ali

KUALA TERENGGANU: "Saya bangun pagi ini, masih lagi Menteri Besar yang sah," kata Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berseloroh demikian ketika diminta mengulas spekulasi yang mengaitkan dirinya kini tersepit dengan pihak istana Terengganu sehubungan dakwaan wujud usaha daripada pihak dalaman Pas untuk mengambil alih jawatannya.

Ahmad Samsuri berkata, setakat ini tidak timbul isu pertukaran Menteri Besar (MB) itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

"Saya rasa, bangun pagi ini, MB lagi, walaupun ada gambar 10 orang jadi Menteri Besar, bertukar setiap jam.

"Saya rasa tidak timbul lagi yang lain-lain itu. Biarlah polis jalankan siasatan," katanya.

Ditanya berhubung dakwaan perpecahan yang berlaku dalam Pas Terengganu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu juga hairan dengan perkara itu.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhenti menabur fitnah.

"Saya pun hairan. Orang tak ingat api neraka agaknya, dia buat fitnah-fitnah begini. Jadi saya hendak seru kepada orang ramai, ingat sikit, buat fitnah itu, api neraka ada.

"Kita ini hidup lama-lama pun, akan mati juga," katanya.

Pada Selasa, Setiausaha Politik beliau, Muhyiddin Abdul Rashid, tampil membuat laporan polis berhubung artikel yang disiarkan sebuah portal yang disifatkan sebagai fitnah dan tidak betul.

Jelasnya, kandungan laporan bertajuk ‘MB Terengganu tergugat, borang aku janji berkanun kini tersebar’ itu berniat jahat terhadap kredibiliti Ahmad Samsuri.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan kedudukan Ahmad Samsuri kini tersepit antara masalahnya dengan pihak istana dan juga usaha pimpinan lain dalam Pas untuk mengambil alih tempat beliau.

Satu borang 'surat akuan berkanun' dikatakan sudah disediakan untuk membolehkan para wakil rakyat Terengganu menandatanganinya bagi menyatakan kesediaan menolak Ahmad Samsuri sebagai MB.

Ia didakwa disediakan untuk ADUN kedua-dua parti, sama ada dari Pas yang mempunyai 22 kerusi atau UMNO yang mempunyai 10 kerusi.

Tiada ulasan: