"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tun M dakwa Agong tanya masa sesuai adakan PRU15

NURHIDAYAH HAIROM 

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertanya kepadanya mengenai waktu sesuai bagi negara mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika sesi sembah maklum di Istana Negara pada Khamis.

Dr Mahathir berkata, beliau telah sembah maklum dengan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bahawa adalah paling tidak wajar untuk melaksanakan PRU15 dalam tempoh terdekat ini.

Menurutnya, sekiranya dilaksanakan dalam masa terdekat, akan mencetuskan pandemik Covid-19 yang lebih buruk serta mengancam nyawa rakyat seperti berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"Yang di-Pertuan Agong ada bertanya kepada saya, sama ada pilihan raya boleh diadakan, tahun depan atau pada bila-bila masa. Saya maklumkan kepada Seri Paduka Baginda bahawa pilihan raya akan membahayakan sebab kita sudah lihat apa yang terjadi di Sabah (PRN Sabah lalu).

"Kalau buat pilihan raya umum, akan mencetuskan gelombang baharu Covid-19," katanya ketika sesi sidang akhbar dalam talian selepas sesi sembah menghadap di Istana Negara pada Khamis.

Menurut Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, waktu terbaik untuk Malaysia mengadakan PRU15 adalah apabila negara telah mencapai imuniti kelompok iaitu sebanyak 80 peratus rakyat menerima divaksin.

"Tunggu 80 peratus rakyat sudah divaksinkan baru boleh buat pilihan raya. Jangan ulang tragedi PRN Sabah," katanya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau yakin Yang di-Pertuan Agong memberi perhatian serius terhadap segala inti pati sembah maklum hasil sesi menghadap ketua-ketua pemimpin parti politik pada minggu ini.

Dr Mahathir juga tidak menolak kemungkinan inti pati tersebut akan dibawa dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun depan.

Tiada ulasan: