Nora Mahpar
PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mengajak rakyat bangkit menuntut perubahan pentadbiran negara berikutan kegagalan Kabinet Muhyiddin Yassin yang didakwanya “tempang” menguruskan krisis pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan masyarakat merana.
Malah Presiden PKR itu mendakwa kerajaan diibaratkan sebagai samseng dengan menangkap golongan pengkritiknya dengan menggunakan alasan darurat yang sepatutnya digunakan untuk melicinkan urusan berdepan Covid-19.
Anwar berkata percanggahan antara menteri, ketidaktentuan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan menyeluruh dan kelembapan mendapat vaksin menunjukkan ketidakmampuan pemerintah dibina atas dasar khianat serta hilang keabsahan.
“Nak kuasa tapi tidak boleh buat kerja dengan teratur…kesannya derita rakyat bertambah. Jumlah meninggal dunia, sakit, dalam ICU dan positif semakin meningkat tetapi ujian besar-besaran belum ditingkatkan.
“Maksudnya data itu dipertikai, berdasarkan data analitik kita dibuat secara saintifik ternyata data diberikan tidak tepat dan berlaku penipuan secara terang-terangan yang kemudiannya diperbetulkan,” katanya ketika menyampaikan amanat khas Presiden PKR secara maya hari ini.
Program itu bagi menggantikan perasmian Kongres PKR yang sepatutnya berlangsung pagi ini tetapi dinasihatkan ditangguhkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke satu tarikh akan diumumkan.
Anwar turut mempertikaikan tindakan kerajaan menghukum golongan mengkritiknya dengan menggunakan undang-undang darurat yang disifatkan sebagai satu penderaan kepada rakyat.
Beliau memberikan contoh bagaimana seorang individu dihukum dan diugut hanya kerana bertanya pihak mana mendapat kontrak mengendalikan laman sesawang pendaftaran vaksin yang gagal berfungsi dengan baik.
“Ini negara apa, kepimpinan samseng? Guna darurat (sepatutnya) untuk licinkan pentadbiran tetapi dera rakyat. Masalah kelembapan vaksin, mereka kata Selangor sudah diberikan 2.9 juta vaksin yang nasib baik dijelaskan kerajaan Selangor jumlahnya hanya lebih 600,000.
“Mereka kata akan dapat vaksin Mac dan suntik 75,000…yang dapat hanya 25,000 kemudian naik 45,000 pada April. Dengan jangkaan sekarang ini dan ikut unjuran tidak mungkin selesai akhir tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson sekali lagi mengulangi pendirian pakatan itu untuk bekerjasama dengan parti pembangkang bagi meruntuhkan kerajaan PN yang didakwanya dibarisi pemimpin yang rakus dan tamak kuasa.
“Tetapi janganlah anggap kita nak bolot kuasa, kita perlu ada kesepakatan dalam semua aspek kerana kita lihat ada kesenjangan yang nyata dalam PN ketika ini,” katanya sambil menyifatkan nakhoda negara ketika ini tiada hala tuju dalam membangunkan ekonomi dan rakyat.
“Negara tak boleh terhoyong-hayang, kita kena tegas dan tak boleh bertolak ansur. Perdana menteri dan kerajaan bersilih ganti tetapi kita masih terpalit dengan isu mengumpul khazanah, mengumpul kekayaan untuk keluarga itu keluar ini…
“Rasuah.. kalau rakyat izinkan ini berlaku, ini bermakna negara akan terus dilanda krisis dan malapetaka amat dahsyat dan akhirnya negara tidak akan mendapat keberkatan untuk tangani Covid-19.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan