"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Kenapa tiada Adun PAS ikrar sokong MB T'ganu?'

Malaysiakini 

Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah mempersoalkan mengapa tiada di kalangan Adun PAS di negeri itu yang secara terbuka menyokong kepimpinan Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ini selepas pejabat Samsuri membuat laporan polis terhadap sebuah organisasi berita kerana melaporkan ada usaha untuk menyingkarkannya daripada jawatan menteri besar.

"Yang menghairankan, dalam riuh rendah cerita dan gosip disebarkan, tidak kedengaran ikrar sokongan atau taat setia baik dari PAS sendiri.

"Sikap menyepi untuk berdiri teguh di belakang MB Terengganu dari PAS merupakan satu misteri kepada pucuk pimpinan PAS negeri dan nasional," kata Raja Kamarul dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Amanah yang cuba dikaitkan dengan usaha menjatuhkan Ahmad Samsuri telah menafikan penglibatan dalam isu berkenaan.

Umno juga katanya telah mengeluar kenyataan untuk menafikan penglibatan mereka, namun tidak menyatakan sokongan kepada Ahmad Samsuri sebagai menteri besar Terengganu.

Raja Kamarul berkata sekiranya ada usaha untuk menggantikan Samsuri, hanya di kalangan Adun PAS sahaja yang layak menjadi penganti menteri besar Terengganu itu.

"Sebabnya hanya PAS dengan 22 kerusi Dun sahaja boleh menentukan beliau boleh kekal MB atau tidak.

"Eloklah tumpu siasatan 'mastermind' apa-apa komplot kepada dalaman keluarga PAS.

"Masalah dalaman rumah tangga PAS jangan pula cuba dialih pandangan menyalahkan kepada pihak luar sebagai kambing hitam," tambahnya.

PAS menguasai 22 kerusi di DUN Terengganu, manakala baki 10 kerusi dimiliki Umno. Tiada pembangkang dalam DUN di negeri berkenaan.

Ahmad Samsuri, 50, pernah menjadi setiausaha politik kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Pada pilihan raya umum lalu, Ahmad Samsuri diturunkan sebagai calon PAS bagi kerusi DUN Ru Rendang, yang sebelum itu disandang Hadi selama tujuh penggal.

Kelmarin, Ahmad Samsuri memberitahu Astro Awani bahawa dia masih menjadi menteri besar apabila ditanya mengenai spekulasi bahawa ada usaha untuk menyingkirkannya.

"Saya rasa, bangun pagi ini, MB lagi, walaupun ada gambar 10 orang jadi menteri besar, bertukar setiap jam.

"Saya rasa tidak timbul lagi yang lain-lain itu. Biarlah polis jalankan siasatan," katanya.

Tiada ulasan: