Terjerat cinta jejaka ‘Amerika’, wanita rugi RM2.7 juta
FMT Reporters
PETALING JAYA: Gara-gara terjerat sindiket Love Scam yang didalangi warga Nigeria, seorang ejen penilai hartanah kerugian RM2.7 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Kamarudin Md Din, berkata wanita berusia 44 tahun itu berkenalan dengan lelaki didakwa warga Amerika, Eric Tan melalui aplikasi Tinder yang kononnya berada di negara ini untuk berkursus di Johor Bahru.
“Suspek kemudian mendakwa dia ditahan di lapangan terbang sebelum meminta bantuan wanita itu untuk meminjamkan sejumlah wang,” katanya.
Beliau berkata, bagi meyakinkan mangsa, suspek turut membuat perjanjian pinjaman menggunakan nama “syarikat”.
Akibat terpedaya dengan kata-kata lelaki itu, mangsa membuat 11 transaksi membabitkan wang sebanyak RM2.7 juta.
“Bagaimanapun, lelaki itu gagal dihubungi dan menghilangkan diri sebelum mangsa menyedari dia ditipu,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Susulan itu, polis menahan lima warga Nigeria dan seorang wanita tempatan dalam enam serbuan di sekitar Cheras dan Kajang bagi membantu siasatan.
Siasatan mendapati suspek berusia 27 hingga 43 tahun itu menjalankan kegiatan tersebut sejak 2016 dan menyasarkan wanita tempatan dengan menjerat mereka di media sosial.
Beliau berkata, sindiket tersebut beroperasi secara berasingan dalam dua kumpulan yang berbeza.
“Satu kumpulan berperanan mencipta akaun palsu dalam media sosial menggunakan akaun palsu ini, akan mula mencari kenalan dan berkomunikasi dengan mangsa manakala kumpulan kedua bertindak sebagai ejen pencari akaun keldai bank di dalam negara mahupun akaun luar negara.
“Pemeriksaan lanjut mendapati warga Nigeria itu masuk ke negara ini menggunakan pas pelajar namun telah tamat tempoh.”
Katanya, polis merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan sindiket antaranya telefon bimbit, komputer riba dan modem.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/62 (Pindaan 2002) dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan