"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mageran: Dr M bukan nyanyuk tapi mahu kuasa, kata AMK

Yasmin Ramlan

Pemuda PKR (AMK) mendakwa tindakan Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan kerajaan ala Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada tahun 1969 semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam menunjukkan hasrat bekas perdana menteri itu untuk kembali berkuasa.

Naib Ketua AMK, Thiban Subramaniam turut mempersoalkan kewajaran ahli parlimen Langkawi mencadangkan Mageran, memandangkan ia dilihat sebagai langkah ke belakang dan hanya memberi kesan buruk kepada negara.

Menurutnya, kebanyakan pihak pembangkang atau Umno sendiri mahukan proklamasi darurat ditamatkan dengan kadar segera.

“Tindakan beliau hari ini (semalam) mencadangkan Mageran kepada Tuanku jelas menunjukkan bahawa beliau bersungguh-sungguh untuk kembali berkuasa dengan apa jua cara pun.

“Beliau bukan nyanyuk, ini adalah strategi beliau untuk pastikan kerajaan tidak bertukar khususnya (Presiden PKR) Anwar Ibrahim tidak diangkat sebagai perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 Semalam, Mahathir mendedahkan dia mencadangkan penubuhan kerajaan ala Mageran semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, isu siapa akan mengetuai Mageran tidak dibincangkan tetapi ahli parlimen Langkawi itu menawarkan bantuan jika dikehendaki kerajaan.

Sementara itu, Thiban berkata kenyataan Mahathir bahawa Anwar menelefonnya berhubung krisis semasa tetapi tiada penyelesaian, merupakan tindakan pemimpin Pejuang itu untuk memperlekehkan ahli parlimen Port Dickson.

“Ia diketahui umum bahawa menjadi kebiasaan kepada Tun M untuk terus perlekeh segala usaha Anwar Ibrahim dalam arena politik selama ini.

“Dendam kesumat beliau tidak pernah terpadam,” katanya.

Tiada ulasan: