Nicholas Chung
PETALING JAYA: Generasi muda Malaysia mungkin tertanya-tanya apa itu “MAGERAN” selepas disebut bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad semalam.
Bagi kebanyakan generasi yang lebih tua, ia mengimbau semula detik sejarah hitam negara.
Ia adalah singkatan atau akronim Majlis Gerakan Negara.
Pada sidang media selepas menghadap Agong semalam, Mahathir mencadangkan penubuhan MAGERAN untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan dan menawarkan khidmatnya.
Dengan bantuan daripada aktivis sosial Chandra Muzaffar, FMT melihat semula latar belakang MAGERAN dan peranannya sewaktu ditubuhkan.
Ia dibentuk pada 15 Mei 1969, selepas perisytiharan darurat dan perintah berkurung dikenakan susulan rusuhan kaum 13 Mei, yang tercetus selepas pilihan raya umum.
Ia berfungsi sebagai kerajaan sementara (interim) dan berusaha untuk memulihkan kedaulatan undang-undang dan membawa negara ke arah perdamaian nasional. Ia dibubarkan pada 1971.
Perdana menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman, memilih untuk tidak memegang MAGERAN dan melantik timbalannya, Abdul Razak Hussein, sebagai pengarahnya.
“Tunku berkata beliau mahu seseorang yang boleh memberi perhatian penuh, Razak jauh lebih muda. Oleh itu, beliau melantiknya untuk peranan itu,” kata Chandra.
Dengan negara yang baru saja mengadakan pilihan raya, belum ada Jemaah Menteri yang dilantik. Oleh itu, beberapa ahli Jemaah Menteri Tunku sebelum ini dilantik untuk berada di bawah MAGERAN.
Ahli terkemuka termasuk Dr Ismail Abdul Rahman, VT Sambanthan, Tan Siew Sin dan Muhammad Ghazali Shafie. Ketua angkatan tentera Tengku Osman Jiwa dan Ketua Polis Negara Mohamed Salleh Ismael juga menjadi ahli majlis.
Sebelum pilihan raya umum, Ismael telah meletak jawatan sebagai menteri dalam negeri, atas faktor kesihatan. Tetapi apabila ditawarkan Razak, beliau terus bersetuju untuk berkhidmat dengan majlis berkenaan.
Tan, presiden MCA, dan Sambanthan, presiden MIC, masing-masing adalah Menteri Kewangan dan Menteri Kerja, dalam Jemaah Menteri sebelum ini. Ghazali adalah setiausaha tetap di Kementerian Luar Negeri.
MAGERAN sama seperti Jemaah Menteri, dengan ahli majlis bertugas mengikut portfolio mereka.
Tugas utamanya adalah untuk memulihkan undang-undang dan peraturan. Dengan perintah berkurung dan tentera dikerahkan, ia mencapai tujuannya untuk mewujudkan semula perdamaian dalam beberapa bulan.
Terdapat konflik berlaku beberapa bulan selepas 13 Mei, tetapi majlis itu menanganinya dengan cepat, kata Chandra.
MAGERAN berperanan dalam menentukan hala tuju sosial dan ekonomi negara dengan menubuhkan badan-badan seperti Majlis Perundingan Negara (NCC) dan Majlis Muhibah.
NCC, yang dipengerusikan Razak, terdiri daripada wakil pelbagai komuniti, parti politik, badan profesional, kesatuan sekerja, kumpulan perniagaan dan lain-lain. Antara tugas utamanya adalah mengusahakan dasar ekonomi yang bertujuan untuk mengurangkan kemiskinan, mengagihkan semula kekayaan ekonomi dan memberi sokongan kepada Bumiputera.
Dasar itu, yang kemudian dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (NEP), “berusaha untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira etnik dan menyusun semula masyarakat supaya pengenalan etnik dengan fungsi ekonomi dapat dikurangkan”, kata Chandra.
NCC juga mewujudkan Rukun Negara dalam usaha menjalin perpaduan antara rakyat Malaysia demi kejayaan dan kestabilan negara. Ia adalah senarai lima prinsip dan lima cita-cita negara dan kekal menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan sehingga hari ini.
Adakah MAGERAN perlu ditubuhkan semula? Menurut Chandra, ia tidak perlu kerana keadaan sekarang berbeza walaupun terdapat perisytiharan baharu darurat.
Katanya, darurat pada 1969 diisytiharkan atas alasan keselamatan dan MAGERAN diperlukan untuk memulihkan kedaulatan undang-undang dan mengelakkan sebarang kekerasan daripada semakin teruk.
“Sebab utama MAGERAN sangat diperlukan adalah untuk menangani rusuhan yang tercetus,” katanya. “Kita memerlukan sebuah badan yang boleh menangani situasi keselamatan, keganasan, pembunuhan dan sebagainya.
“Dalam keadaan darurat yang diisytiharkan Januari lalu, ia jelas adalah darurat kesihatan.”
Selain itu, katanya, tiada Kabinet yang berfungsi selama rusuhan sejak pilihan raya umum baru saja selesai. Ini mendesak agar beberapa bentuk badan pemerintahan untuk dibentuk.
Beliau menyatakan bahawa Muhyiddin Yassin sudah mempunyai Jemaah Menteri.
Yang di-Pertuan Agong akan terus bertemu pemimpin parti politik hari ini sebelum mempengerusikan pertemuan dengan semua Raja-raja Melayu pada Rabu depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan