"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tambah kerusi DUN di Selangor: Umno gusar, tohmah PH goyang

FAZLI RADZI

Umno tidak perlu gusar dengan usul pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika mereka beranggapan bahawa ada penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) sekaligus rakyat beralih sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Pengarah Komunikasi PH Selangor merangkap Timbalan Pengerusi AMANAH negeri, Azli Yusof menegaskan bahawa Umno yang sebenarnya gusar dengan usul tersebut apabila mendakwa PH mula goyah dan bertindak menambah kerusi DUN.

Hal ini kerana, jelas Ketua AMANAH Shah Alam itu, jika rakyat telah beralih menyokong Umno sekalipun, sama ada kerusi bertambah atau kekal, pastinya rakyat akan menyokong BN.

“Sebenarnya, BN yang merasa bimbang dengan usul itu. Saya yakin bahawa rakyat Selangor semakin bertambah celik dan sedar akan kejayaan PH mentadbir negeri,” katanya.

Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata penambahan kerusi DUN berikutan jumlah pengundi di beberapa DUN kini mencecah lebih 100,000 orang akan diusulkan dalam sesi Persidangan DUN Selangor akan datang.

Menurutnya, keseimbangan diharap dapat diwujudkan dalam kalangan jumlah pengundi di kawasan bandar dan luar bandar supaya masing-masing akan mendapat perkhidmatan yang seimbang oleh kerajaan.

Menjawab dakwaan ADUN Sungai Tawar BN bahawa PH bakal menambah hanya kerusi kawasan bandar sahaja agar PH boleh kekal menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Azli berkata, sebahagian besar DUN pinggir bandar juga akan melalui proses persempadanan semula.

Sementara itu, bekas Setiausaha Politik Menteri Wilayah itu berkata, rakyat di luar bandar juga sudah mula sedar akan kemampuan dan kelebihan kerajaan PH.

“Malah, rakyat di luar bandar boleh mengakses maklumat, membuat penilaian dan tidak mudah terperdaya dengan dakyah dan propaganda BN yang lapuk.

“Apa yang lebih penting, cadangan penambahan kerusi DUN yang diusahakan itu bertujuan memberikan khidmat lebih baik kepada rakyat.

“Sebabnya, wujud perbezaan jumlah pengundi yang begitu besar dalam sejumlah DUN tertentu seperti DUN Kinrara berbanding dengan DUN Sungai Tawar,” jelasnya.

Mengulas lanjut kenyataan Menteri Besar, beliau berkata langkah tersebut bagi mewujudkan keseimbangan dalam kalangan jumlah pengundi luar bandar dan bandar supaya masing-masing mendapat perkhidmatan lebih adil dan saksama.

“Umno dinasihatkan agar mempertimbangkan kebaikan dan keutamaan kepada rakyat daripada terus menerus mempolitikkan usaha baik yang akan diusulkan oleh kerajaan PH,” tambah Azli lagi.

Tiada ulasan: