"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sapura: Rafizi berjanji akan beri maklum balas setiap idea songsang Najib

NASUHA RAHMAN

Rafizi Ramli akan memberi maklum balas setiap idea songsang Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik beliau kembali ke arena politik.

Dalam kenyataan hari ini Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menolak saranan Najib untuk menggunakan wang rakyat bagi menyelamatkan Sapura Energy Berhad yang kini berdepan risiko muflis.

Bahkan beliau akan terus memantau isu ini dan membentangkan angka-angka dalam hari-hari yang seterusnya untuk mengingatkan rakyat supaya jangan terpedaya sekali lagi dengan idea pengurusan ekonomi dari Najib Tun Razak.

“Saya menunggu sama ada beliau akan membalas kenyataan saya ini, seperti mana beliau begitu ghairah menjawab semua isu di media sosialnya selama ini,” katanya.

Menurut Rafizi, kemenangan besar Umno BN dalam pilihanraya negeri Melaka dan Johor, suara seperti ini yang mengambil sikap mudah membelanjakan wang rakyat untuk menutup kerugian korporat semakin kuat kedengaran.

“Rekod pentadbiran Umno BN, terutamanya semasa Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, menunjukkan skandal-skandal besar pembaziran wang negara berlaku apabila Umno BN merasakan mereka kuat dan tidak tercabar.

“Sekiranya gesaan Najib Tun Razak ini diberi perhatian, wang rakyat yang boleh digunakan untuk membina kepakaran dan kemahiran usahawan-usahawan kecil, anak-anak muda, memberi pinjaman pendidikan dan seumpamanya akan terus diperuntukkan untuk membela segelintir golongan elit.

“Sedangkan semasa golongan elit ini bermewah (hasil dari pembiayaan wang rakyat) mereka tidak pula memikirkan tanggungjawab mereka memberi pulangan pelaburan yang baik kepada rakyat,” ujarnya.

Najib Tun Razak pada 20 Mac 2022 yang menggesa Kerajaan Persekutuan (melalui PETRONAS atau Khazanah Nasional) untuk menyelamatkan Sapura Energy Berhad yang kini berdepan risiko muflis.

Beliau memberi alasan rakyat (yang memiliki institusi-institusi seperti PETRONAS atau Khazanah Nasional) akan kerugian besar jika Sapura tidak diselamatkan.

Contoh-contoh kerugian yang diberikan termasuklah kerugian kepada pemegang Amanah Saham Bumiputera sebanyak RM4 bilion, kerugian kepada Maybank sebanyak RM10 bilion dan kehilangan pekerjaan sebanyak 10,000 orang.

Rafizi turut bersimpati dengan nasib kakitangan Sapura yang berhadapan masa depan tidak menentu, membelanjakan berbilion wang rakyat kepada beberapa kerat syarikat korporat dalam keadaan semua perniagaan dan semua pekerja di segenap peringkat menghadapi kesusahan adalah tidak adil.

“Lebih-lebih lagi apabila sejumlah wang yang besar melebihi berbilion-bilion ringgit telah pun disuntik ke dalam Sapura sejak lebih sedekad yang lalu. Walaupun terus diberi suntikan wang rakyat, Sapura terus mengalami masalah kewangan pada kala harga minyak mentah berada pada paras yang tinggi (berbeza dengan syarikat minyak lain yang mendapat durian runtuh apabila harga minyak mentah dunia naik),” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: