"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mohsin Abdullah: Dah mula ke kempen PRU?

Mohsin Abdullah

Beberapa penganalisis baru-baru ini setuju PRU15 berkemungkinan menyaksikan peratusan rendah pengundi jika ia diadakan pada kadar segera atau tergesa-gesa.

Bermakna apa yang berlaku pada PRN Melaka dan Johor terutamanya akan atau boleh berulang. Adakah Umno yang sebelum ini mendesak PRU15 diadakan segera tidak tahu akan ramalan atau unjuran ini?

Pasti mereka tahu. Tetapi mereka mendesak juga. Mengapa? Kerana yakin peratusan kecil yang keluar mengundi kebanyakannya penyokong mereka. Pengundi yang akan undi Umno. Begitu. “Low voter turnout” menguntungkan mereka.

Imbau kembali secara ringkas apa yang terjadi di Johor. Menurut kaji selidik yang dijalankan Ilham Centre, jumlah pengundi 2.5 juta. Yang keluar mengundi 1.4 juta (55%). Yang mengundi Umno-BN 600 ribu (42%) daripada yang keluar mengundi atau 23% daripada keseluruhan undi berdaftar.

“Sistem ‘first-past-the-post’ yang kita amalkan membolehkan Umno-BN menguasai 71% kerusi DUN walaupun memperolehi 42% undi popular yang hanya merangkumi 23% daripada keseluruhan pengundi berdaftar,” kata Prof Madya Yusri Ibrahim, Ketua Penyelidikan Ilham Centre.

Ini, kata beliau, “kebijaksanaan” strategi BN memanfaatkan sistem dan situasi semasa dan ini “tiada sebarang isu bagi pihak mereka”. Walaupun Yusri menyifatkan itu kebijakan strategi BN saya berpendapat ia lebih kepada strategi bijak Umno kerana rakannya dalam BN iaitu MCA dan MIC sekadar “tumpang tui”.

Apa pun, dalam bahasa mudah, hanya 23% daripada keseluruhan pengundi berdaftar telah menentukan siapa yang mentadbir negeri.

Bagi Yusri, kadar keluar mengundi yang sangat rendah “kurang bagus” untuk iklim demokrasi kerana “ini memberi perspektif kurang baik apabila sesebuah kerajaan dibentuk dengan undi minoriti apabila ramai memilih tidak keluar mengundi”.

Namun, bak kata beliau sendiri tadi, “ini tiada sebarang isu” bagi Umno/BN. Benar kerana bagi Umno-BN, “a win is a win”.

Kebimbangan (jika ini perkataan yang tepat untuk digunakan) ramai termasuk Yusri (dan juga saya) ialah apa yang berlaku di Johor akan berulang pada PRU15. Bukan kerana kami anti-Umno-BN tetapi bimbang sebilangan kecil pengundi boleh menentukan siapa menang dan jadi kerajaan. Sesuatu yang tidak “molek” untuk demokrasi Malaysia.

Namun ada pemerhati politik beranggapan, golongan yang tidak keluar mengundi boleh diibarat atau dilihat sebagai “penyokong Umno-BN kerana mereka rela dan mengizinkan parti itu menang”.

Apa pun, Umno akan lebih daripada gembira jika apa yang berlaku di Johor berulang pada PRU15 kelak. Mungkin mereka yakin itu lah yang bakal terjadi. Lantas mendesak Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menghadap Agong memohon perkenan baginda bubar Parlimen.

Akan tetapi PRN Johor juga ada “pengajarannya” yang wajar diperhatikan Umno. Berdasarkan data keputusan pilihan raya, walaupun Umno-BN menang besar ia tidak boleh merasa terlalu selesa, menurut Ilham Centre.

Kajian dan data yang diperolehi badan penyelidikan itu menunjukkan Umno gagal “mengkuburkan” Perikatan Nasional terutama Bersatu meskipun itulah matlamatnya.

Walaupun menang hanya tiga kerusi, undi popular yang diraih PN lebih 24%, mengatasi Pakatan Harapan.

Berdasarkan pencapaian itu, menurut Ilham Centre, Bersatu-PN berjaya meletakkan dirinya sebagai alternatif bagi orang Melayu.

Dalam erti kata lain, orang Melayu mula percaya PN boleh menjadi alternatif kepada BN yang selama ini menjadi satu-satunya pilihan mereka.

Ilham Centre berpendapat PN berada di landasan “betul” berdasarkan prestasi di PRN Melaka dan Johor walaupun tidak menang.

Bahasa mudah sekali lagi. Bersatu-PN boleh dan sedang mengancam keselesaan dan keghairahan Umno-BN.

Adakah Umno tahu akan ini semua? Saya rasa ia tahu. Mungkin itu sebabnya Umno yang sememangnya berada di “awang-awangan” atau “cloud 9“ dan bersemangat berkobar-kobar setelah menang di Melaka dan Johor secara “tiba-tiba tarik brek” berhubung desakan supaya PRU15 diadakan secepat mungkin.

Kita tahu pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno tempoh hari, ramai menjangkakan satu usul mendesak PRU15 diadakan segara akan dibentang dan diluluskan, tetapi tidak terjadi.

Sebaliknya, Presiden Ahmad Zahid Hamidi yang mengepalai desakan PRU disegerakan, memberitahu Umno tidak akan menekan Perdana Menteri kerana “menghormati keputusan Kabinet yang dianggotai pelbagai parti selain BN”. Seolah-olah Umno sebelum ini, ketika lantang mendesak, tidak tahu Kabinet dianggotai pelbagai parti selain BN.

Apa pun seperti kita juga tahu Ismail Sabri Yaakob yang sebelum itu “keberatan” PRU15 diadakan segera memberitahu perwakilan beliau akan berbincang dengan “top five” yakni kepimpinan tertinggi Umno dan jika yakin akan menang, tidak akan tunggu satu saat pun untuk bubar Parlimen dan adakan PRU15.

Ada pihak percaya Ismail berlengah-lengah. Namun pada masa sama, kerajaan Ismail membenarkan pengeluaran khas KWSP RM10,000. Ismail juga mengumumkan gaji minimum RM1,500 akan dilaksanakan mulai Mei ini. Kerajaan turut menyediakan insurans untuk keluarga miskin yang kematian ketua isi rumah.

Walaupun mengalu-alukan semua langkah itu, ada yang menyifatkannya langkah itu bersifat “populis” bertujuan meraih undi pada pilihan raya akan datang. Lain perkataan ‘berkempen’.

Ahli akademik Zaharom Nain menyifatkan cadangan Ismail untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib bagi pelajar asing di universiti tempatan “seolah-olah satu pengumuman “ad hoc” dan berinspirasikan politik.

Ismail sebelum ini mahu Bahasa Melayu digunakan oleh delegasi Malaysia yang berucap pada persidangan antarabangsa demi “memperkasakan Bahasa Kebangsaan”. Kita tahu kedaulatan dan pemerkasaan Bahasa Melayu amat dekat di hati orang Melayu (boleh juga dibaca pengundi Melayu).

Ismail juga meluluskan pembayaran pampasan atau “ex gratia” RM1.5 juta kepada keluarga Muhamad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang meninggal dunia semasa insiden di kuil di Seafield Subang Jaya pada 2018. Kolumnis Mariam Mokhtar melihat itu sebagai “eksplotasi politik”.

Persoalan paling penting sekarang ialah bila PRU15 akan diadakan? Menurut peraturan ia mesti diadakan pada atau sebelum 23 Julai 2023.

Pemerhati, penganalis, dan penyelidik politik ramai yang menjangka November ini. Kaji selidik CGS-CIMB menganjur “paling cepat Ogos ini”. Kesimpulannya mereka bersetuju ia akan diadakan tahun ini bukan tahun depan.

Sungguh pun tarikh PRU masih menjadi tanda tanya, kempen untuk memenangi PRU nampak macam sudah bermula.

Tiada ulasan: