"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH sukar pertahan Selangor, ahli parti beri amaran

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) berdepan tugas berliku mengekalkan Selangor pada PRN, terutama apabila pengundi Melayu cenderung terhadap Perikatan Nasional (PN), kata seorang bekas wakil rakyat.

Ahli politik yang enggan dinamakan itu berkata, PKR dan Amanah khususnya akan bergelut mempertahankan kerusi mereka dalam DUN Selangor yang mempunyai 56 kerusi.

“Jumlah pemilih Melayu mengundi PH berkurangan pada PRU November (lepas). Pengundi Melayu dilihat cenderung ke arah PN pada masa ini,” kata pemimpin PH itu kepada FMT.

Pada PRU15, PN menang 74 kerusi, 72 daripadanya membabitkan kawasan dengan ramai pengundi Melayu. PAS sahaja menguasai 49 kerusi.

Lebih merumitkan keadaan bagi PH, kata pemimpin berkenaan, berlaku peralihan undi masyarakat berbangsa India kepada PN, yang terserlah pada pilihan raya Padang Serai, Kedah, pada 7 Dis tahun lepas.

“Jika anda lihat pilihan raya Padang Serai, undi masyarakat India beralih daripada PH kepada PN,” katanya.

“Antara faktornya adalah masyarakat India tidak senang dengan PH, terutama selepas pengumuman pembentukan Jemaah Menteri dengan hanya seorang menteri berbangsa India.”

Pada pilihan raya Padang Serai, calon PN, Azman Azman Nasrudin merampas kerusi itu daripada PH dengan majoriti 16,260 undi. PH menyandang kerusi itu, yang mempunyai 20% pengundi berbangsa India, selama tiga penggal.

Pilihan raya di Padang Serai ditangguhkan susulan kematian bekas penyandangnya daripada PKR, M Karupaiya pada 16 Nov, tiga hari sebelum pengundian berlangsung. Mendiang sepatutnya bertanding untuk mempertahankan kerusi itu.

Mengulas berhubung PRN Selangor, bekas ADUN itu berkata, PH hanya boleh mengharapkan kerusi dikuasai DAP, yang banyak antaranya mempunyai majoriti pengundi Cina, sebagai selamat.

“Pengundi Cina menjauhi PN kerana pengaruh PAS, jadi mereka setia bersama PH. Bagaimanapun, tidak semestinya keadaan sama berlaku membabitkan pengundi Melayu dan India,” katanya sambil menambah, ini membahayakan PKR dan Amanah.

Selain itu, faktor Azmin Ali berupaya memberi cabaran kepada PH memandangkan bekas menteri besar Selangor itu masih mempunyai pengaruh yang kuat di negeri berkenaan.

“Azmin mungkin kalah di Parlimen Gombak, tetapi PRN adalah berbeza. Pada November, rakyat mahu melihat Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.
“Kini, beliau sudah menjadi perdana menteri, jadi pengundi Selangor mungkin mempunyai keutamaan lain,” katanya.

Pemimpin PH itu berkata, Azmin Ali juga akan menggunakan rekod prestasinya ketika mentadbir Selangor ketika masih bersama PH.

Bagaimanapun, pandangan pemimpin PH terbabit dicabar ADUN Taman Templer Sany Hamzan, yang berkata bahawa bersama Barisan Nasional (BN), PH mampu mempertahankan Selangor.

“Menteri besar kita (Amirudin Shari) sudah melakukan banyak untuk rakyat Selangor, jadi saya yakin pengundi akan menggunakan kebijaksanaan mereka ketika mengundi,” kata ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah itu.

“Kami ambil maklum mengenai ‘gelombang hijau’ (peningkatan sokongan kepada PAS), namun kami juga sudah kenal pasti kesilapan pada PRU15 dan akan menangani perkara itu pada PRN.”

Sany berkata, PH perlu turun ke lapangan dan menangkis tuduhan PAS bahawa orang Melayu dan Islam akan dipinggirkan jika Anwar berkuasa.

Beliau berkata, tempoh Anwar memegang jawatan setakat ini menunjukkan dakwaan itu adalah palsu. Oleh itu, tambahnya, PAS mungkin tidak dapat menembusi dengan kuat pada PRN Selangor.

Tiada ulasan: