"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganggur curi bas sekolah nak balik kampung

Nuraliawati Sabri

am@hmetro.com.my

KEADAAN bas sekolah yang dicuri suspek (gambar kecil) selepas terbabas berhampiran Taman Malinja. FOTO Nuraliawati Sabri
KEADAAN bas sekolah yang dicuri suspek (gambar kecil) selepas terbabas berhampiran Taman Malinja. FOTO Nuraliawati Sabri
Melaka: Tindakan seorang penganggur yang melarikan sebuah bas sekolah untuk pulang ke kampung mengundang padah apabila dia ditahan polis, petang semalam.

Dia ditahan sekitar 5.45 petang di tepi Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) selepas bas yang dipandunya itu terbabas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sehari sebelum kejadian bas sekolah terbabit diletakkan di sebuah stesen minyak di Kampung Musai oleh pemiliknya berusia 68 tahun.

Beliau berkata, bagaimanapun sekitar 5.30 petang semalam, warga emas berkenaan melihat basnya bergerak keluar tetapi tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka adiknya yang memandu.

"Tidak lama selepas itu, dia dihubungi oleh anaknya yang memaklumkan ada orang mencuri bas miliknya itu dan melarikan diri ke arah Lebuh AMJ Melaka Sentral.

"Dia kemudian bergegas keluar dan mengikut dari arah belakang sebelum bas terbabit tiba-tiba terbabas ke bahu jalan berhampiran Taman Malinja sebelum menahan lelaki itu dengan bantuan orang awam," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Christopher berkata, siasatan awal mendapati, suspek mendakwa dia hendak balik ke kampung di Kapar, Selangor dengan memandu bas sekolah itu.

"Semakan lanjut mendapati suspek sebelum ini turut mempunyai satu rekod lampau membabitkan kes cubaan melarikan kenderaan pada 2013," katanya.

Katanya, suspek kini direman selama tiga hari sehingga Khamis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: