"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki baling kerusi kepada polis, miliki video lucah ditahan

Bernama

Polis menahan seorang lelaki kerana berkelakuan tidak sopan dan disyaki memiliki video lucah, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditahan ketika membuat laporan palsu di IPD Ampang dengan mendakwa dompetnya diragut seorang lelaki menaiki motosikal di parkir kereta Jalan Pandan Indah di Kuala Lumpur pada 4 petang semalam.

Beliau berkata semasa proses merakam keterangan, lelaki berkenaan yang merupakan seorang pekerja bank, meninggikan suara dan membaling kerusi ke arah pejabat pegawai penyiasat kerana mendakwa telah menunggu lebih sejam untuk membuat laporan.

“Susulan kejadian, lelaki itu ditahan dan telefon bimbitnya dirampas. Pemeriksaan mendapati ada beberapa video lucah yang disimpan lelaki itu. Hasil saringan ujian air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki itu membuat laporan palsu kerana hendak memohon bagi kad pengenalan baharu.

Mohamad Farouk berkata lelaki itu ditahan reman tiga hari sehingga 1 Feb ini dan disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan iaitu memiliki bahan lucah serta Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu membuat laporan palsu.

- Bernama

Tiada ulasan: