"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Prof Agus tinggalkan Gorontalo kerana dapat tawaran lain dari PM?

N Faizal Ghazali

Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Mohammad Agus Yusoff memberi gambaran dia bakal berkhidmat dengan kerajaan selepas meninggalkan Indonesia.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Agus berkata dia menamatkan khidmatnya di Universitas Negeri Gorontalo, di Sulawesi, Indonesia selepas enam di sana, untuk menyumbang bakti kepada negara sendiri.

"Selama enam bulan bertugas di Gorontalo, banyak yang saya perhatikan. Kehidupan masyarakatnya harmoni, mahasiswanya rajin, masjidnya menyatukan masyarakat, dan politiknya tanpa ekstremisme agama dan kaum.

"Alamnya pula dibaluti hutan, gunung, tasik, sungai dan laut yang indah. Ini menjadikan Gorontalo daerah yang mendamaikan.

"Begitupun bahagia dan gembira, dua hari lepas, saya tekad menamatkan perkhidmatan di sini kerana mahu pulang untuk berkhidmat dan menyumbang bakti pula di negara sendiri. Itu sahajalah yang mampu saya lakukan untuk negara sendiri di usia sebegini," katanya.

Sebelum ini Agus dilaporkan menolak tawaran daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyumbang kepada kerajaan.

Ketika itu, dia berkata sokongannya terhadap kepimpinan Anwar kerana mahukannya membawa perubahan kepada negara ini dan tidak lebih daripada itu.

Agus yang juga pakar dalam Sains Politik dan Sejarah sebelum ini bertugas sebagai Profesor Politik di Universitas Negeri Gorontalo.

Sementara itu, menurut sumber, Agus bakal berkhidmat dan menerajui sebuah jabatan dalam kerajaan selepas ini.

Sumber yang enggan dinamakan itu berkata dia akan memulakan khidmatnya pada Februari nanti namun enggan mendedahkan perkara itu secara lebih terperinci.

"Buat masa ini saya tidak boleh dedahkan jawatan dan jabatan akan bakal diisinya.

"Insya-Allah, dia akan umumkan sendiri awal bulan depan," kata sumber yang rapat dengan pentadbiran Anwar kepada Malaysiakini.

Tiada ulasan: