"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas timbalan menteri UMNO yang dipecat mahu sertai PKR

FMT Reporters
Zahidi Zainul Abidin dipecat oleh Umno pada November lepas selepas bertanding sebagai calon bebas pada PRU15 setelah digugurkan oleh parti itu.
PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Zahidi Zainul Abidin akan menyertai PKR dan mendakwa “ramai pemimpin lain” daripada parti lamanya akan mengikut jejak langkahnya.

Bekas timbalan menteri komunikasi dan multimedia itu berkata, beliau akan menyerahkan borang keahlian PKR pada 4 Feb, dan mendakwa beberapa pemimpin Umno peringkat kebangsaan berhasrat berbuat perkara sama, lapor Sinar Harian.

“Dengan saya bakal menyertai PKR secara rasmi pada 4 Feb ini bersama 100 ahli Umno Bahagian Padang Besar, dijangka banyak cawangan parti itu di Padang Besar yang bakal terbubar kelak,” katanya.

“Ramai orang tanya saya macam mana hendak masuk PKR, termasuk sebilangan pemimpin Umno Pusat. Ada juga antara mereka hendak masuk PN (Perikatan Nasional). Ini semua sebab mereka tidak bersetuju dengan cara presiden.”

Zahidi dipecat oleh Umno pada November lepas selepas bertanding sebagai calon bebas pada PRU15 setelah digugurkan oleh parti itu.

Beliau gagal mempertahankan kerusi Padang Besar, dengan hanya memperoleh 1,939 undi dan kehilangan deposit dalam pertembungan lima penjuru yang dimenangi oleh Rushdan Rusmi daripada PN.

Menurut Zahidi, wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan “ramai” pemimpin Umno dan akar umbi mengenai bagaimana presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan MKT “membersihkan” parti tanpa mengikut prosedur.

Jumaat lepas, Umno memecat bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan bekas pengerusi Umno Selangor Noh Omar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan Shahril Hamdan, bekas Ahli Parlimen Jempol Salim Sharif, dan ketua Umno Tebrau Maulizan Bujang digantung keahlian selama enam tahun.

Zahidi turut mengkritik tindakan Zahid memecat pemimpin Umno yang tidak sehaluan dengannya, semata-mata untuk menjamin kedudukannya sebagai presiden parti.

“Mujurlah hakim-hakim di negara ini tidak boleh dipecat Zahid, jika tidak dengan mereka semua pun kena pecat kerana tidak menyokong beliau,” katanya secara sinis, merujuk kepada kes mahkamah yang sedang berjalan membabitkan timbalan perdana menteri itu.

Tiada ulasan: