"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akar umbi tak setuju jika Zahidi diterima masuk PKR

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR Perlis meminta parti itu meneliti terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menerima bekas Ahli Parlimen Padang Besar dari Umno, Zahidi Zainul Abidin sebagai ahli.

Naib Pengerusi PKR negeri, Asrul Nizan Abd Jalil berkata, akar umbi tidak senang jika parti terpaksa menerima kemasukan pemimpin lawan untuk menjadi ahli mereka.

“Sebagai sebuah parti membawa agenda reformasi, kita mengalu-alukan sesiapa sahaja ingin menyertai PKR khususnya untuk menjayakan agenda Malaysia Madani namun, kita sudah ada pengalaman sebelum ini di mana adanya pemimpin yang tergolong dalam kategori ‘tong sampah’.

“Berapa ramai sudah pemimpin lawan kononnya tokoh dari parti tertentu masuk ke PKR dan diangkat sehingga mendapat jawatan namun akhirnya mereka khianat dengan menikam kita balik,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Zahidi yang juga bekas ketua Umno Padang Besar memberitahu beliau bersama 100 ahli lain akan menyerahkan borang keahlian PKR kepada ketua bahagian tersebut.

Zahidi dipecat dari Umno selepas bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Padang Besar dan DUN Titi Tinggi selepas tidak dicalonkan pada PRU15. Beliau digantikan Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan.

Beliau gagal mempertahankan Parlimen itu apabila sekadar meraih 1,939 undi sekali gus hilang deposit. Parlimen Padang Besar dimenangi calon Perikatan Nasional (PN) Rushdan Rusmi.

Kata Asrul lagi, sekiranya parti tetap menerima Zahidi sebagai ahli PKR, beliau tidak menolak kemungkinan akar umbi berkecil hati.

“Zahidi merupakan bekas pemimpin Umno dan sekiranya beliau diterima, maka pastinya langkah itu akan menjejaskan hubungan dalam kerajaan perpaduan sehingga memberi kesan di peringkat nasional,” katanya yang juga bekas ADUN Sena.

Tiada ulasan: