"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri: Hanya yang ada ID khas boleh beli minyak masak peket tahun depan

Afiezy Azaman

KUALA LUMPUR: Hanya mereka yang ada pengenalan diri khas (ID) dan disahkan layak sahaja boleh mendapatkan minyak masak berpeket melalui subsidi bersasar yang dijangka diperkenalkan tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh bagi memastikan ia disasarkan kepada yang memerlukan dan tidak berlaku penjualan kepada yang tidak layak.

"Pada ketika ini Kerajaan keluarkan 60 juta peket minyak masak bersubsidi setiap bulan, akan tetapi aduan diterima ialah ia tidak boleh didapati di pasaran dan selalu habis.

"Maka dengan subsidi bersasar, hanya yang ada ID (pengenalan diri) dan disahkan layak sahaja boleh dapatkan minyak masak yang peket bersubsidi ini.

"Ramai yang bertanya mengapa tidak gunakan IC atau MySejahtera. Ini kerana keperluan keluarga tidak sama dengan keperluan peniaga mikro," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, sekiranya dihadkan pembelian kpd 3 kilogram (kg) atau 5kg, peniaga akan bermasalah.

"Lagi satu ialah golongan T20 tidak layak terima subsidi minyak masak peket. Maka perlu kepada ID yang berbeza," ujarnya.

Julai lalu, Fuziah menyatakan kerajaan akan melaksanakan kaedah pembelian minyak masak peket kepada kumpulan sasar mulai tahun depan dan seramai 5.8 juta isi rumah daripada golongan M40 dan B40 sudah dikenal pasti dan layak berada dalam kumpulan itu.

Beliau berkata, kementerian juga akan menambah kira-kira satu juta pengguna dalam kalangan usahawan mikro seperti peniaga ayam goreng, pisang goreng dan keropok lekor.

Pada 11 Sept, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata program bersubsidi bersasar akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun depan menerusi sistem pangkalan data utama (Padu).

Mei lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju menubuhkan Padu untuk menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar.

Tiada ulasan: