"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mulut celupar Sanusi, 'tohmahan' PN boleh makan diri - Analisis

Hariz Mohd

PRK PELANGAI: Walaupun Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor disambut seakan bintang selebriti di negeri-negeri yang ditadbir PAS namun keadaannya agak berbeza di Pelangai.

Dia dikatakan tokoh kontroversi yang selalu melawak dengan jenaka yang dianggap kasar oleh sesetengah pihak.

Sanusi, yang juga pengerusi PN Kedah, menggesa pengundi di Pelangai untuk menolak BN dan PH, bagi menyuarakan penentangan terhadap apa yang didakwanya sebagai liberalisme oleh kerajaan persekutuan.

Ketika berceramah pada malam penamaan calon di Felda Kemasul, Sanusi membangkitkan langkah Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee yang memetik terjemahan sepotong ayat al-Quran baru-baru ini.

"Yang liberal ni dia kata sekurang-kurangnya dia (Howard) mengaji..kepala bapak hang...hang bodoh.

"Quran ni Tuhan turunkan penuh kesucian, kemuliaan dia ada disiplin untuk menghurai, untuk menterjemah.

"Ni hangpa alif ba ta pun tak tahu...kote (anu) pun tak kerat," kata Sanusi pada majlis ceramah PN itu.

Walaupun Sanusi tidak menyertai kempen di Pelangai sejak itu, namun kenyataan kontroversinya menjadi bahan kempen BN dan PN untuk menggambarkan bagaimana pemimpin PN bercanggah dengan mesej agama yang mereka dakwahkan.

"Yang saya herannya, pemimpin, ulama besar dia (PAS) tak kata apa seolah-olah ulama (PAS) ni bagi cop halal (pada Sanusi).

"Mencarut boleh, hina orang boleh, maki orang boleh, cerca orang boleh.

“Seolah-olah dia (Sanusi) ambil cop halal daripada ulama yang ada dalam PAS," kata pemimpin Amanah Mahfuz Omar (gambar, atas) semasa ceramah di Felda Kemasul, Bentong pada 1 Oktober lalu.

Sanusi pertikai khutbah PM di New York

Bagi pemimpin BN dan PH, tingkah laku Sanusi menunjukkan apa yang tidak kena dengan PN - bahawa gabungan itu 'memutar-belit cerita dan melemparkan tuduhan' serta tidak begitu acuh dengan isu yang menjejaskan penduduk tempatan.

Topik popular di kalangan pemimpin PN akhir-akhir ini ialah lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke New York ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini.

Di luar perhimpunan, Anwar menyampaikan khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), dan ini juga dikritik oleh pemimpin PN di Pelangai.

Sanusi, misalnya, mendakwa tidak ramai perwakilan PBB yang hadir untuk mendengar ucapan perdana menteri kerana masyarakat antarabangsa kononnya mengenali Anwar sebagai pembohong.

"Kenapa tak ada orang? Sebab orang luar pun tahu dia kuat membohong, daripada dengar lebih baik keluar.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita patut malu kerana ketika berucap di UNGA orang tak mahu dengar," katanya pada 24 Sept lalu.

"Heran apa. Sini tiap-tiap Jumaat, khutbah tidak masuk berita pun. Dia nak pi tipu orang New York," dakwa menteri besar Kedah itu.

Bagi Ketua Bersatu Pahang Saifuddin Abdullah, dia memberitahu orang Pelangai bahawa Anwar salah kerana menggunakan istilah "pencerobohan" (invasion) untuk menggambarkan perang Rusia di Ukraine ketika berucap di perhimpunan agung PBB.

Dakwaan ini disangkal semasa ceramah BN dan PH, yang menggunakan kenyataan Saifuddin ini sebagai satu lagi contoh tabiat PN menyebarkan maklumat salah.

Anwar, ketika hadir ke Pelangai pada Isnin untuk berkempen, menggambarkan PAS dan PN sebagai perikatan politik yang biadab.

"Anda boleh tidak bersetuju dengan saya, dengan Pakatan Harapan atau pun DAP, tetapi jangan sampai ke tahap 'menghina, mencaci'," kata Anwar.

Felda medan tempur PRK

Pada separuh masa kedua kempen, BN dan PH meningkatkan usaha mereka di tiga Felda, kawasan pilihan raya yang menempatkan separuh pengundi Pelangai.

Walaupun penempatan Felda dari segi sejarah sukar untuk menyokong parti Anwar, PKR, dia disambut kira-kira 1,000 orang ketika menghadiri majlis Felda pada 2 Okt lepas.

Anwar ketika berucap mengingatkan peneroka Felda bahawa pentadbiran kerajaan perpaduan yang menjadikan skim pengecualian hutang untuk peneroka yang dimulakan semasa Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

Ini, kata Anwar, kerana dialah yang mendapatkan RM8.3 bilion yang diperlukan, dan ini telah mendapat sokongan sekutunya DAP - sebuah parti yang sering difitnah oleh PN.

"Saya bentang di jemaah menteri, kena bentang dalam jemaah menteri nak sign RM83 bilion ini.

"Bila saya bawa (ke kabinet), Datuk Seri Zahid (Hamidi), dia senang, dia sokong. Timbalan Perdana Menteri 2 Fadillah (Yusof) dari Sarawak dia sokong.

"Anthony Loke (Setiausaha Agung) DAP, dia sokong. Dia kata ini untuk orang Felda yang susah, tak ada masalah.

“Yang nak marah DAP ni apa pasal? Kerana dia Cina. Melayu (dalam DAP) pun ada Rara," kata Anwar berseloroh, merujuk kepada Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

PN dakwa Adun BN akan lompat

Sehari kemudian, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin memberitahu pengundi Pelangai bahawa jika mereka memilih calon PN, ada kemungkinan kerajaan Pahang akan runtuh dan bertukar pentadbiran.

Muhyiddin menjelaskan dengan jelas bahawa Pahang tidak seperti kebanyakan negeri, tidak mempunyai undang-undang yang menghalang Adun daripada berpaling tadah.

"Mungkin nanti ada YB Umno sedar kesilapan dan ingin masuk jemaah kita.

“(Jika ia berlaku) Insya-Allah (Timbalan Presiden PAS) Tuan Ibrahim (Tuan Man) bakal menteri besar Pahang,” katanya.

Dakwaan Muhyiddin itu dua hari sebelum Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya mengeluarkan hasil tinjauannya yang mendedahkan hanya 13.5 peratus responden setuju kerajaan negeri perlu ditukar.

Ketika ditanya jika pentadbiran BN-PH di Pahang patut dikekalkan sehingga habis penggal, 58.6 peratus responden bersetuju, kata kajian itu.

Majoriti responden yang tinggal di tiga Felda di Pelangai - Chemomoi, Sungai Kemasul dan Sungai Kemahal - berkata mereka berpuas hati dengan kerajaan negeri.

Majoriti responden juga, iaitu sebanyak 50.8 peratus, berpandangan wajar untuk kerajaan persekutuan kekal sehingga habis penggal.

"(Responden mendapati) naratif pertukaran kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri yang kurang rasional ada kemungkinan boleh menyebabkan berlaku kehilangan keyakinan pengundi terhadap platform kempen PN," kata APM.

Pengundi Pelangai akan memilih Adunnya esok 7 Oktober.

Tiada ulasan: