"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid beri bayangan rombakan Jemaah Menteri dalam masa terdekat

Bernama

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa rombakan Jemaah Menteri pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan berlaku dalam masa terdekat.

Beliau berkata antara sebabnya ialah kekosongan jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup susulan kematian Salahuddin Ayub.

“Mesti ada (rombakan). Saya fikir dalam waktu terdekat,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan khas Umno Putrajaya.

Ditanya desas-desus bakal dilantik mengetuai Kementerian Dalam Negeri susulan rombakan itu, Zahid berkata beliau sedia menerima apa jua tanggungjawab yang diamanahkan.

“Saya pun lihat poster begitu tetapi perdana menteri belum bagitahu saya. Sebenarnya kementerian mana pun saya pergi, saya bersedia sebab yang pentingnya Jemaah Menteri ini buat keputusan secara konsensus.

“Biarpun saya memegang Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah tetapi pada waktu yang sama, perdana menteri letakkan saya menjadi pengerusi jawatankuasa Jemaah Menteri, jawatankuasa peringkat tinggi serta pasukan petugas yang melibatkan pelbagai kementerian dan saya lakukan perkara itu demi kepentingan kerajaan perpaduan,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pernah dilantik sebagai menteri dalam negeri dari 2013 hingga 2018, semasa pentadbiran Najib Razak.

Zahid juga berkata sebagai presiden Umno serta pengerusi Barisan Nasional, beliau berharap Kementerian Wilayah dan Persekutuan dapat diwujudkan semula dalam rombakan Kabinet terbaharu.

Dalam pada itu, Zahid memaklumkan beliau akan ke semua bahagian Umno bagi mengupas isu berkaitan parti, termasuk yang melibatkan perundangan dan politik.

“Ini penting, biar mereka dengar sendiri penjelasan daripada saya dan pasukan yang mengenai aspek politik, perundangan serta beberapa isu lain,” katanya.

Tiada ulasan: