"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KJ: Kegagalan komunikasi PH punca kontroversi aset Tabung Haji

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata kegagalan komunikasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi punca kontroversi berkait pemindahan aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang didakwa diserah kepada bukan Islam pada 2018.

Beliau berkata, penjelasan diberi kerajaan pada waktu itu tidak begitu berkesan.

“Kita semua tahu bahawa pemindahan aset itu sekadar ‘parking’. Dia nak ‘parking’ luar daripada penyata imbangan TH dan ‘parking’ dia di Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan.

“Tapi disebabkan benda itu tidak dijelaskan secara politik dan dikaitkan pula dengan pengurus SPV yang namanya bukan Muslim dan sebagainya, senang sangat untuk diserang dan disebut bahawa aset itu dijual kepada bukan Melayu,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap.

Khairy berkata, ia menjadi situasi pasca kebenaran di mana sesuatu benda yang tidak betul boleh dijadikan sebagai benar dan ia jelas terbukti kegagalan PH, Kementerian Kewangan mahupun pasukan komunikasi bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng pada 2018.

Sementara itu, bekas pemimpin Umno Shahril Hamdan berkata, langkah “parking” Lim pada waktu itu membolehkan TH membayar hibah terhadap pencarum.

“Walaupun saya berada di pihak pembangkang pada waktu itu, saya tidak melihat ia sebagai suatu masalah, sebaliknya ia adalah cara kreatif untuk menyelesaikan keadaan dalam jangka masa pendek,” katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata aset TH yang diserahkan kepada SPV akan dikembalikan semula.

Katanya, keputusan itu diambil berikutan pengurusan lembaga tersebut kini sudah pulih dan diuruskan dengan baik.

Pada 11 Dis 2018, TH mengumumkan pemindahan aset tidak menguntungkan hampir RM19.9 bilion kepada SPV bagi memantapkan semula kedudukan kewangannya.

Pada April 2019, Mujahid Yusof Rawa ketika menjadi menteri bertanggungjawab ke atas TH, berkata aset TH tersebut dipindahkan kepada SPV, Urus Harta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) bertujuan menutup jurang defisit agensi itu.

Tiada ulasan: