"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Polis tahan seorang pemuda berkait ‘gig DUN Paloh'

Malaysiakini

Seorang pemuda berusia 28 tahun ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Khamis lalu, bagi membantu siasatan berkaitan satu rakaman video yang memaparkan sekumpulan individu sedang berhibur di sebuah dewan tertutup.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata siasatan mendapati kejadian itu membabitkan empat kumpulan muzik dari Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Menurutnya seorang lagi lelaki yang bertindak memohon sewaan dewan tersebut masih lagi dikesan pihak polis.

“Tempahan dibuat menerusi applikasi WhatsApp melalui penjaga dewan pada 4 Sept dengan bayaran RM200 secara transaksi atas talian dengan tujuan untuk bermain muzik.

“Persembahan muzik diadakan pada 23 Sept bermula jam 9 pagi hingga 7 petang dan tiada sebarang tiket dijual. Siasatan turut mendapati seramai 30 orang hadir pada persembahan hiburan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu rakaman video seminit 30 saat tular di media sosial memaparkan tarian agresif sekumpulan pemuda berpakaian seperti pengikut Skinhead atau Punk.

Aksi itu dipercayai dirakam dalam sebuah konsert mini atau lebih dikenali sebagai ‘gig’ di DUN Paloh, Gua Musang.

Sementara itu mengulas lanjut Sik berkata, semasa persembahan berlangsung terdapat aktiviti meminum minuman keras oleh ahli kumpulan dan penonton yang hadir.

Malah katanya tiada sebarang permit permohonan dikemukakan oleh pihak penganjur acara itu.

“Ujian saringan awal terhadap pemuda itu didapati negatif sebarang jenis dadah dan pihak polis merampas sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan.

“Semakan juga mendapati tangkapan mempunyai satu kad rawatan pesakit mental dan menerima rawatan susulan di Klinik Kesihatan Chiku 3, Gua Musang,” katanya.

Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 6 Enakmen Hiburan 1998.

“Pihak PDRM menyeru kepada mana-mana individu yang memounyai sebarang maklumat berkaitan video sekimpulan anak muda sedang berhibur itu agar menyalurkan maklumat di talian 09-9121222 atau balai polis berdekatan,” jelas Sik lagi.

Tiada ulasan: