"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Kes bunuh bayi, Remaja mengaku bersalah dan terlepas hukuman mati

Hidir Reduan Abdul Rashid

Seorang remaja mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh anaknya yang baru lahir dua tahun lalu, di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini.

Wanita berusia 17 tahun itu terlepas daripada hukuman bunuh selepas kesnya ditukar daripada pertuduhan bunuh kepada pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan.

Dia sebelum ini dihadapkan dengan pertuduhan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kesalahan membunuh anak di bawah Seksyen 309A membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda.

Peguam remaja itu Sangeet Kaur Deo hari ini memberitahu Malaysiakini mengenai pengurangan pertuduhan jenayah berikenaan.

Peguam itu menjelaskan remaja tersebut diikat jamin sementara menunggu hukuman, yang ditetapkan pada 9 Mei.

Sangeet menambah bahawa Mahkamah Majistret juga memerintahkan "laporan akhlak" disediakan untuk menjatuhkan hukuman terhadap remaja itu.

Kes kepentingan awam

Remaja itu menjadi tumpuan pada awal 2022, berikutan permohonan awal yang gagal untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu kes pembunuhan ketika itu.

Mahkamah Rayuan kemudian membenarkan remaja itu dibebaskan dengan ikat jamin pada Mei 2022.

Pada 15 Feb tahun yang sama, remaja itu didakwa atas tuduhan membunuh di hadapan Mahkamah Majistret Kemaman di Terengganu.

Menurut laporan Malay Mail, Majistret Tengku Eliana Kamaruzaman menolak pengakuan remaja itu untuk dibebaskan dengan ikat jamin.

Di bawah undang-undang Malaysia, kes bunuh merupakan kesalahan tidak boleh jamin, bermakna jaminan hanya diberikan mengikut budi bicara mahkamah.

Bagaimanapun, menurut peguam remaja itu, Nurainie Haziqah, Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah membenarkan pengecualian dibuat jika orang yang didakwa sama ada sakit, bawah umur atau perempuan.

“Kami juga berhujah bahawa kes ini mempunyai kepentingan umum dan dilaporkan secara meluas oleh media. Mahkamah boleh menetapkan duluan (yang baik),” katanya.

Peguam remaja itu kemudian memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan mahkamah tinggi yang menolak jaminannya.

Sebelum kehadirannya di Mahkamah Majistret, remaja itu direman tujuh hari pada Februari untuk memudahkan siasatan polis.

Pihak berkuasa juga sedang mencari teman lelaki gadis berusia 22 tahun itu, yang dipercayai telah merogolnya.

Dilaporkan bahawa bayi yang baru lahir itu ditemui mati pada 8 Feb 2022, di rumah gadis itu di Felcra Sri Bandi di Chukai, Kemaman.

Tiada ulasan: