"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lebih dua jam baca 164 pertuduhan terhadap Pengerusi Eksekutif dan CEO Aman Palestin

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my
TIGA individu dari Aman Palestin diiringi pegawai SPRM ketika hadir di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Shah Alam. FOTO Aizuddin Saad
TIGA individu dari Aman Palestin diiringi pegawai SPRM ketika hadir di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Shah Alam. FOTO Aizuddin Saad
Shah Alam: Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 164 pertuduhan pecah amanah, menipu dan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM39.5 juta.

Bagaimanapun, Abdullah Zaik Abdul Rahman, 58, dan Awang Suffian Awang Piut, 52, serta pengarah syarikat pelaburan, Khairudin Mohd Ali, 49, masing-masing mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Jurubahasa mahkamah mengambil masa lebih dua jam untuk membacakan 164 pertuduhan ke atas ketiga-tiga tertuduh.

Bagi kesalahan pecah amanah, Abdullah Zaik dan Awang Suffian masing-masing didakwa 52 pertuduhan sebagai pengarah syarikat Samudra Champa Sdn Bhd (Samudra Champa) yang diamanahkan dengan harta milik Aman Palestin iaitu wang berjumlah RM20,946,498.80 dan melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta itu di sebuah bank di Bandar Baru Bangi dekat sini antara 12 Mac 2018 dan 3 November 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan bolehlah juga dikenakan denda.

Bagi kesalahan menipu, Abdullah Zaik dan Awang Suffian juga didakwa secara bersama-sama bagi 19 pertuduhan dengan curangnya memperdayakan Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM39,150,000 kepada syarikat Samudra Champa Sdn Bhd bagi pembelian emas sedangkan harga pembelian emas itu lebih rendah iaitu RM33,399,970 yang mana Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin Berhad tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian oleh mereka berdua.

Kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di Aman Palestin di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi dekat sini antara 24 September 2021 dan 14 Julai 2023 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda.

Selain itu, Abdullah Zaik dan Awang Suffian juga masing-masing didakwa 19 pertuduhan sebagai pengarah syarikat Samudra Champa menggunakan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM12,833,772.16 sebagai bayaran bagi pembelian sebuah rumah Semi-D, rumah kedai, lot tanah, lot kedai, kilang pejabat berkembar dan sebuah kereta Toyota Vellfire bagi pihak Samudra Champa Sdn Bhd.

Manakala, Khairudin sebagai pengarah syarikat sama pula didakwa tiga pertuduhan melakukan perbuatan sama membabitkan wang berjumlah RM6,038,016.60 sebagai bayaran bagi pembelian lot kedai, rumah kedai dan kilang pejabat berkembar.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di beberapa bank di Bandar Baru Bangi dan Kajang dekat sini antara 1 Jun 2018 dan 3 Mei 2023.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib, Wirna Rifin @ Arifin, Nurul Atiqah Mohamad Alias dan pegawai pendakwa SPRM Fatin Farhana Ismail manakala kesemua tertuduh diwakili Siti Mardhiyyah Zamani.

Ahmad Akram menawarkan jumlah jaminan bon RM1 juta masing-masing untuk Abdullah Zaik dan Awang Suffian dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah bagi semua pertuduhan.

"Kami bersetuju (bersama pembelaan) meletakkan jumlah jaminan kepada tertuduh bon RM1 juta dengan syarat RM500,000 didepositkan ke mahkamah hari ini, baki sebelum atau pada 13 Mac ini dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa disimpan di mahkamah," katanya.

Siti Mardhiyyah kemudian mengesahkan jumlah jaminan itu seperti dipersetujui dengan anak guamnya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Anita membenarkan Abdullah Zaik dan Awang Suffian masing-masing diikat jamin bon RM1 juta dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, manakala jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin bagi Khairudin serta syarat sama.

"Mahkamah menerima dan bersetuju dengan jaminan serta syarat-syarat yang dicadangkan (pihak pendakwaan dan pembelaan) buat ketiga-tiga tertuduh, jumlah itu munasabah. Mahkamah juga membenarkan separuh daripada jumlah didepositkan hari ini dan baki sebelum atau pada 13 Mac ini," katanya.

Anita kemudian menetapkan 13 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Tiada ulasan: