"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berkait tahanan rumah Najib, siapa yang tipu Zahid, Tengku Zafrul atau Saifuddin

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberikan penjelasan susulan pendedahan Presiden Umno Zahid Hamidi berkaitan tahanan rumah Najib Razak.

Katanya, pendedahan timbalan perdana menteri menimbulkan persoalan terdapat “pihak yang menipu” berkaitan isu itu memandangkan Saifuddin sebelum ini mengatakan tidak mempunyai maklumat berhubung kewujudan perintah tambahan tersebut.

“Oleh itu siapa yang menipu Najib ini? Zahid menipu, (Tengku) Zafrul (Aziz) menipu atau Saifuddin menipu?

“Kalau berdasarkan kenyataan Zahid dan jika apa yang Zahid dan Zafrul cakap itu betul, ia memberi gambaran yang mereka kata Saifuddin dan kerajaan yang menipu dan sorok surat tahanan di rumah Najib itu,” katanya di Facebook.

Isham berkata demikian sebagai respons kepada afidavit difailkan Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu yang menyokong dakwaan Najib berkaitan kewujudan perintah tambahan untuk beliau menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Zahid mendakwa, beliau dimaklumkan perkara itu oleh Tengku Zafrul, yang merupakan menteri pelaburan, perdagangan dan industri dalam pertemuan di kediamannya pada 30 Jan lalu.

Malah, katanya Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail turut maklum kewujudan perintah itu.

Katanya, Tengku Zafrul turut memaklumkan perintah itu bertarikh 29 Jan 2024.

“Zahid kata Zafrul kata Agong dahulu ada beri surat tahanan di rumah untuk Najib. Zahid kata Wan Rosdy pun nampak surat ini. Sebelum ini menteri dalam negeri (Saifuddin) kata dia tidak tahu menahu pun berkenaan surat itu.

“Zahid, kenapa selepas dua bulan lebih baru buat kenyataan berkenaan hal ini? Sepatutnya dua bulan lepas kamu sudah buat kenyataan ini jika kamu benar-benar mahu bantu Najib. Kini sudah terciduk baru mengaku?” soal Isham.

“Dan Saifuddin, sila komen jika Zahid dan Zafrul menipu atau kamu yang menipu.”

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri tidak membincangkan pembabitan Zahid sebagai “saksi kritikal” yang mengikrarkan afidavit menyokong permohonan Najib berkaitan kewujudan perintah tambahan.

“Tidak dibincangkan hari ini (dalam mesyuarat Jemaah Menteri),” katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi.

Beliau juga memaklumkan, kerajaan tidak membincangkan mengenai perintah tambahan yang didakwa daripada Agong terdahulu untuk membenarkan bekas perdana menteri menjalani baki hukuman bawah tahanan rumah.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 5 Jun ini untuk membuat keputusan sama ada membenarkan Najib meneruskan usahanya bagi memaksa kerajaan mendedahkan perintah tambahan yang didakwa daripada Agong terdahulu.

Najib memfailkan permohonan itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan perintah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Perintah tambahan itu supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Beliau sebelum ini diberikan pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menjadikan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman di Penjara Kajang dan dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Tiada ulasan: