"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Syed Mokhtar dahulu senarai hartawan Melayu terkaya Malaysia

NURUL HUDA HUSAIN

SHAH ALAM - Nilai kekayaan kolektif 50 hartawan dalam Senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2024 meningkat sebanyak dua peratus kepada AS$83.4 bilion (RM399.82 bilion), demikian menurut senarai terbaharu yang dikeluarkan oleh Forbes Asia.

Menurut majalah perniagaan terkemuka itu, peningkatan tersebut didorong oleh kenaikan pasaran saham Malaysia sejak senarai terakhir dikeluarkan, namun diimbangi kejatuhan nilai ringgit.

Menerusi 50 senarai itu, tiga orang Melayu iaitu tokoh korporat,Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary; pemilik Weststar Aviation Services Sdn Bhd (WAS), Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dan tokoh perbankan terkemuka negara, Tan Sri Azman Hashim.

Syed Mokhtar menduduki tangga ke-15 dengan nilai kekayaan bersih, AS$1.3 bilion (RM6.23 bilion), Syed Azman berada di kedudukan ke-28, dengan AS$765 milion (RM3.7 bilion), manakala Azman yang menduduki tempat ke-32 mengumpul sebanyak AS$660 milion (RM3.2 bilion)

Senarai terbaharu itu juga turut memaparkan, Tan Sri Robert Kuok mengekalkan kedudukannya sebagai individu paling kaya di Malaysia dengan nilai bersih AS$11.5 bilion (RM55.1 bilion)

Kedudukan Kuok yang meraikan ulang tahun ke-100 pada Oktober tahun lalu sebagai individu terkaya Malaysia juga bukan baharu kerana beliau telah memegang tempat teratas selama lebih daripada suku abad.

Mengisi tempat kedua ialah Pengerusi Eksekutif Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan dengan nilai bersih AS$8.8 bilion (RM42.1 bilion), sedikit menurun daripada AS$10.2 bilion (RM49 bilion) tahun lalu.

Kedudukan lima teratas pula menyaksikan beberapa perubahan dengan adik-beradik Teh, yang mewarisi kepentingan dalam Public Bank daripada mendiang bapa mereka, Tan Sri Teh Hong Piow, menambah sedikit kekayaan untuk berada di tempat ketiga dengan nilai bersih AS$5.4 bilion (RM26 bilion).

Mereka menggantikan hartawan aluminium, Tan Sri Koon Poh Keong dan adik-beradiknya, yang jatuh ke tempat kelima disebabkan harga dan permintaan untuk logam lemah menyebabkan nilai bersih mereka jatuh kepada AS$5.3 bilion (RM25.4 bilion) daripada AS$5.8 bilion (RM28 bilion) tahun lalu.

Sementara itu, antara senarai hartawan yang merekodkan untung paling ketara tahun ini ialah Tan Sri Francis Yeoh dan adik-beradik yang mengalami peningkatan terbesar dalam kedua-dua nilai dolar dan terma peratusan.

Gabungan kekayaan mereka melonjak kepada AS$4.7 bilion (RM23 bilion), lebih tiga kali ganda daripada tahun sebelumnya, didorong dengan kejayaan syarikat utamanya, YTL yang bekerjasama dengan gergasi AS Nvidia bagi mewujudkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di pusat datanya di Johor Bahru.

Tiada ulasan: