"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bunuh perompak, peniaga warung terlepas tali gantung

Bernama
Mohamad Zulkifli Ismail di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini. (Gambar Bernama)
Mohamad Zulkifli Ismail di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU: Seorang peniaga warung terlepas tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati terhadapnya dengan penjara 35 tahun atas kesalahan membunuh seorang lelaki sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara membenarkan permohonan semakan Mohamad Zulkifli Ismail, 59, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 2(4) dan 3(1) Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Tengku Maimun mengetepikan hukuman mati terhadap Zulkifli yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 27 Mei 2018 dan digantikan hukuman penjara 35 tahun mulai tarikh tangkapan 7 Dis 2015.

Zulkifli sudah menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun.

Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Nordin Hassan.

Pada 27 Mei 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman mati terhadap Zulkifli selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh pencari besi, Zulkefle Abdullah, 37, di kawasan rumah di Jalan Kemaman-Dungun, Kampung Labohan, Kerteh pada 10.30 pagi 7 Dis 2015.

Zulkifli kemudian merayu terhadap keputusan itu, tetapi Mahkamah Persekutuan pada 25 Okt 2021 mengekalkan sabitan serta hukuman.

Terdahulu, peguam Mazlan Md Zain yang mewakili Zulkifli berkata, fakta kes menunjukkan perayu ialah mangsa kerana kejadian berlaku dekat rumahnya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani Zainal@Zainol memohon mahkamah mengekalkan hukuman disebabkan perbuatannya dianggap terlalu kejam kerana membiarkan mangsa mati di tempat kejadian.

Kes pembunuhan itu mendapat perhatian selepas tular di media sosia dengan ada pihak mendakwa Zulkifli mempertahankan diri daripada kedua-dua mangsa yang cuba merompak.

Kejadian itu membawa kepada penubuhan kumpulan “Selamatkan Zulkifli” di Facebook yang mencecah 71,000 pengikut dan turut menyiarkan pelbagai kenyataan negatif mempertikaikan kuasa polis menahan Zulkifli selepas kejadian dan proses perundangan.

Kes Zulkifli antara 28 kes semakan semasa sidang Mahkamah Persekutuan diadakan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini melibatkan kes di negeri Pantai Timur.

Tiada ulasan: