"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes lelaki Israel: 10 ditahan semula bawah Sosma

FMT Reporters

Polis berkata, tangkapan keseluruhan kes itu ialah 18 orang, dengan 13 daripadanya masih dalam tahanan polis dan selebihnya dibebaskan dengan jaminan.
Free Malaysia Today
Shalom Avitan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 12 April lalu atas dua pertuduhan memperdagangkan enam pucuk pistol dan memiliki 158 butir peluru.
PETALING JAYA: Polis menahan semula 10 individu, termasuk tiga warga asing disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki Israel, Shalom Avitan untuk disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa berkata, 10 individu itu direman sebelum ini untuk disiasat mengikut Akta Senjata Api, manakala tiga warga asing terbabit disambung reman bawah Seksyen 130v (1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.

“Reman tiga individu itu di bawah Akta Senjata Api tamat semalam. Kita menahan mereka untuk 28 hari lagi mengikut Sosma bagi siasatan lanjut dijalankan,” katanya menurut Sinar Harian selepas menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Cheras baharu antara Zam Halim Jamaluddin dan Ravinder Singh Sarban Singh di IPD Cheras.

Beliau berkata, tangkapan keseluruhan kes itu ialah 18 orang, dengan 13 daripadanya masih dalam tahanan polis dan selebihnya dibebaskan dengan jaminan.

Katanya, tiga warga asing itu mempunyai pasport sah dan ada di antaranya menjalankan perniagaan di Malaysia.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dilaporkan berkata, Avitan memasuki Malaysia menggunakan pasport Perancis, tetapi apabila ditekan lebih lanjut oleh polis, dia menyerahkan pasport Israelnya.

Avitan mendakwa dia ke Malaysia untuk membunuh Eran Haya, yang dikatakan ketua kumpulan jenayah saingan yang juga dalam tahanan polis Malaysia.

Pada 12 April lalu, Avitan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memperdagangkan enam pucuk pistol dan memiliki 158 butir peluru.

Pada 8 April lalu, sepasang suami isteri yang disyaki membekalkan senjata api kepada Avitan, didakwa di Mahkamah Sesyen Klang atas dakwaan memiliki pistol 9mm.

Syarifah Faraha Syed Husin didakwa memiliki pistol itu, manakala suaminya, Abdul Azim Yasin didakwa bersama wanita itu, yang menimbulkan anggapan munasabah dia mengetahui isterinya memiliki pistol berkenaan.

Tiada ulasan: