"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengubahan wang haram: 'Menyamar' pegawai Malaysia: KDN tunggu laporan rasmi Bangladesh - Sumber

B Nantha Kumar

Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menunggu laporan rasmi daripada Kerajaan Bangladesh sebelum bertindak ke atas dakwaan tiga warganegara Malaysia memperkenalkan diri sebagai 'wakil kerajaan' berkaitan siasatan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing melibatkan pekerja warga negara itu.

Sumber daripada KDN berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sekurang-kurangnya dua portal berita Bangladesh yang mendakwa ketiga-tiga individu tersebut melawat Bangladesh pada September lalu sebagai wakil kerajaan serta memberi maklumat palsu mengenai siasatan itu.

"KDN tidak boleh bertindak ke atas berita dari Bangladesh semata-mata. Kalau benar ada tiga warganegara kita melawat ke negara Bangladesh dengan menyamar sebagai 'wakil kerajaan Malaysia', kemudian kerajaan negara itu perlu adakan siasatan dalaman.

"Jika ada bukti, mereka boleh buat laporan rasmi kepada kita, dan berdasarkan laporan itu, kita boleh membuat tindakan selanjutnya," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Malaysiakini masih berusaha menghubungi menteri KDN Saifuddin Nasution Ismail untuk mendapatkan komen.

Terdahulu, dua portal Bangladesh melaporkan tiga individu yang merupakan warga Malaysia melawat ke Bangladesh atas permintaan beberapa pemain agensi pekerja tempatan daripada negara itu.

Menurut laporan, ketika lawatan itu, mereka bertemu pegawai polis di Balai Polis Paltan berhubung kes yang difailkan terhadap agensi tenaga manusia dan memperkenalkan diri mereka sebagai "wakil kerajaan Malaysia" dan sekutu rapat Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim.

Laporan itu mendakwa mereka juga menggunakan identiti aktivis hak asasi manusia selain sekutu KDN Malaysia, untuk mengelirukan pegawai penyiasat sehingga memaksa pihak polis Bangladesh mengeluarkan surat kepada cabang Interpol di Malaysia dengan permintaan untuk menggantung penggunaan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), milik syarikat Bestinet Sdn Bhd.

Sebelum ini, polis Bangladesh menggesa pihak berkuasa Malaysia untuk menahan pengasas Bestinet Aminul Islam Abdul Nor dan sekutunya, Ruhul Amin dan menghantar mereka pulang ke negara itu.

Ia berikutan kedua-duanya didakwa melakukan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing.

Bagaimanapun, Aminul dan Bestinet hari ini menafikan dakwaan tersebut.

Semakan Malaysiakini mendapati tiga individu yang didakwa menyamar sebagai 'wakil kerajaan Malaysia' masing-masing bergelar 'Datuk Seri', 'Datuk' dan seorang lagi Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA).

Ketika dihubungi, salah seorang yang bercakap dengan Malaysiakini dengan syarat tidak mendedahkan nama menafikan laporan tersebut.

"Kami menafikan dakwaan tersebut kononnya menyamar sebagai wakil kerajaan Malaysia.

"Kami memang di Bangladesh ketika itu, tapi atas urusan lain. Kami akan membuat kenyataan rasmi dalam masa terdekat," katanya.

Tiada ulasan: