Serimah Mohd Sallehuddin
LAN Pet Pet pada Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran sempena kemenangan sebagai artis komedi popular APBH36. FOTO Genes Gulitah
Kuala Lumpur: Anggota Senario, Lan Pet Pet, 55, bersama keluarganya bakal berhijrah ke Madinah, tahun hadapan kerana berhasrat mahu dikebumikan di Perkuburan Baqi.
Lan atau nama sebenarnya, Mazlan Ahmad berkata, dia sepatutnya berpindah ke Madinah, tahun ini tetapi terpaksa menangguhkan hasratnya bagi memenuhi permintaan balu Allahyarham Hamdan supaya terus bersama Senario.
"Ikutkan saya ke Madinah tahun ini, tetapi isteri arwah Hamdan, Norhamalini Ahmed minta saya terus bersama Senario bagi menjaga ukhuwah dan silaturahim kami.
"Jadi, saya tangguhkan perancangan ini, insya-Allah saya dan keluarga akan berangkat menunaikan umrah bersama keluarga minggu depan dan kami akan 'riki' apa yang patut di sana.
"Cita-cita sejak kecil memang nak tinggal berhampiran dengan Rasulullah. Saya tanya isteri adakah bersedia dikebumikan di Madinah jika umur tak panjang?
"Bila isteri kata setuju, saya tak mahu tangguhkan lagi. Insya-Allah, ada rezeki saya akan bawa isteri dan anak-anak berhijrah ke sana. Bagaimanapun, kami akan kerap berulang-alik," katanya yang ditemui pada majlis kesyukuran dan doa selamat sempena kejayaan Senario meraih trofi Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-36, baru-baru ini.
Menurut Lan lagi, dia akan menguruskan hotel dan restoran milik Al Maliki Group, malah visa sudah pun diuruskan syarikat.
Bagaimanapun, kata Lan, kerjayanya di Malaysia tetap berjalan seperti bias dan akan berulang-alik Madinah dan Kuala Lumpur.
"Insya-Allah, kerjaya bersama Senario akan tetap berjalan seperti biasa, kalau ada undangan saya akan balik ke sini.
"Saya sudah penat buat ulasan makanan dan restoran kerana terpaksa berlari ke sana-sini.
"Di usia sekarang apa lagi yang ingin saya kejar? Saya hanya ingin dekatkan diri dengan Allah dan Rasul. Saya bersyukur dipertemukan dengan orang betul," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan