Shahrin Aizat Noorshahrizam
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya akan menyiasat dakwaan gangguan seksual ke atas seorang kakitangan Hospital Queen Elizabeth 1 di Sabah.
Bercakap dengan pemberita selepas Program Kesejahteraan Kesihatan Bersama Ahli Parlimen hari ini, Dzulkefly berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan itu secara terperinci.
Namun, dia berkata Kementerian Kesihatan akan mengelak daripada mengganggu siasatan polis, sambil menambah dia akan memutuskan tindakan susulan dengan hasil siasatan polis.
Namun Dzulkefly enggan mengulas apabila ditanya jika suspek masih dibenarkan meneruskan tugasnya di hospital tersebut.
Terdahulu, seorang kakitangan Hospital Queen Elizabeth 1 di Kota Kinabalu, Sabah mendakwa pihak berkuasa gagal mengambil tindakan ke atas aduan gangguan seksual yang dibuatnya terhadap seorang penolong pegawai perubatan (MA).
Dia mendakwa pegawai itu menyentuhnya secara tidak wajar ketika satu prosedur perubatan pada Jun lalu.
Kakitangan berusia 32 tahun itu mendakwa dia telah membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan dan polis namun tidak mendapat maklum balas seperti diharapkan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Kasim Muda mengesahkan pihaknya ada menerima laporan daripada pengadu dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu berkenaan kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan seseorang, dan membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebat atau denda.
Kasim turut mengesahkan suspek telah disoal siasat dan dibebaskan dengan ikat jamin, dengan polis sedang menunggu laporan perubatan untuk tindakan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan