Tiong cabar Mas Ermieyati: 'Kalau nak gaduh, di luar nanti'
Hariz Mohd, Shakira Buang & Shahrin Aizat Noorshahrizam
PARLIMEN | Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King (GPS- Bintulu) hari ini mencabar Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) untuk meneruskan pertelingkahan mereka di luar Dewan.
Ia selepas Mas Ermieyati menyindir Tiong kerana tersilap membaca semula sebahagian daripada teks perbahasannya. Tiong pula menyalahkan pemimpin Bersatu itu yang mencelahnya dan menyebabkan kesilapan itu terjadi.
“Baru kacau sikit dah macam ni, apalah,” kata Mas Ermieyati.
Tiong kemudian berhenti membaca teks perbahasannya dan membalas: “Nak gaduh?”
Beberapa ahli Parlimen lain ketawa dengan kenyataan itu manakala Mas Ermieyati menyahut cabaran tersebut.
“Boleh,” katanya yang juga pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
“Kalau mahu gaduh, luar sanalah nanti,” balas Tiong sebelum meneruskan perbahasannya.
Sebelum pertelingkahan itu tercetus, Mas Ermieyati bangun ketika perbahasan Tiong untuk meminta maklumat lanjut berkenaan beberapa geran kerajaan yang disebut menteri itu.
Namun, Tiong tidak memberi kebenaran kepada Mas Ermieyati untuk mencelah dan memberitahu yang dia akan menjawab pertanyaan itu dalam jawapan bertulis Parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan