Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Dua bekas banduan yang mendalangi 20 kes rompakan kedai serbaneka di empat daerah di Kelantan sejak April lalu, tumpas selepas ditahan di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Jumaat lalu.
Suspek berusia 33 dan 34 tahun, masing-masing mempunyai empat dan tujuh rekod jenayah termasuk berkaitan dadah, ditahan hasil risikan dan maklumat polis.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil penahanan suspek, pihaknya merampas pelbagai barangan berkait rompakan termasuk gergaji elektrik, mesin penyembur air dan rokok.
Katanya, suspek terbabit adalah bekas banduan dengan seorang daripadanya keluar penjara pada April lalu.
"Kita percaya suspek mula bergiat aktif sejak April lalu dengan modus operandi suspek adalah memecah masuk kedai serbaneka pada waktu malam dan kebanyakan premis berada di kawasan bandar.
"Mereka akan menggunakan gas oxy bagi pecahkan pintu premis dan akan mencari peti besi untuk mendapatkan wang tunai dipercayai untuk pembelian dadah.
"Pada masa sama, mereka akan mengambil apa saja barangan di dalam
premis terbabit dan hasil rompakan itu akan ditempatkan di sebuah rumah.
"Siasatan lanjut mendapati, kumpulan itu dianggotai tiga individu dan seorang lagi yang berperanan sebagai ketua kumpulan masih bebas," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mohd Yusoff berkata, susulan tangkapan, pihaknya berjaya menyelesaikan 20 kes rompakan kedai serbaneka di Jeli, Pasir Mas, Kota Bharu dan Tumpat, yang membabitkan kerugian anggaran RM100,000.
Katanya, ketua kumpulan berusia 26 tahun kini dalam buruan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan