NORISMA NAJWA CHE ISMAIL
Gambar penjara Bang Kwang yang dimuat naik di TikTok.
PETALING JAYA – Seorang lelaki berkongsi pengalaman ketika melawat penjara di Thailand yang terkenal dengan keadaan yang serba mencabar dan penuh sesak.
Menerusi hantaran di TikTok oleh pengguna Diey Bundle, terdapat 144 pusat tahanan di seluruh Thailand, termasuk 11 pusat tahanan di Bangkok.
“Salah satu penjara paling digeruni di negara itu ialah Bang Kwang Central Prison, atau lebih dikenali sebagai ‘Big Tiger’ yang menempatkan banduan hukuman hukuman sepanjang hayat atau menunggu hukuman mati.
“Penjara ini menempatkan penjenayah tegar, termasuk pembunuh, pengedar dadah, ‘mafia’, dan kumpulan samseng,” katanya dalam video berkenaan.
Kongsinya juga, ‘Big Tiger’ merupakan destinasi terakhir bagi penjenayah berat yang dianggap tidak dapat dijinakkan di penjara lain.
Penjara ini juga terkenal dengan hukuman mati, yang kini dilaksanakan melalui suntikan maut sejak 2003, menggantikan kaedah tembakan sebelum ini.
“Bila banduan masuk ke Bang Kwang, dia akan kekal tinggal disitu dan hanya akan keluar sebagai mayat kerana di Bang Kwang kebanyakkannya banduan menerima hukuman sepanjang hayat atau banduan akhir,” katanya.
Menurut pengguna tersebut, banduan di penjara ini akan dipakaikan rantai di kedua-dua belah kaki yang disambungkan ke pinggang mereka dan akan dipakaikan selama tiga bulan pertama hukuman.
“Hukuman ini akan menyebabkan tekanan emosi yang tinggi kepada banduan dan mendorong mereka untuk cuba membunuh diri,” jelasnya.
Selain Bang Kwang, Klong Prem Central Prison merupakan penjara dengan keselamatan maksimum yang menempatkan banduan dengan hukuman penjara antara 10 hingga 50 tahun. Antara banduan terkenal yang pernah berada di sini termasuk Xavier Justo, pemberi maklumat bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurutnya lagi, keadaan di penjara mengalami sesak melampau, dengan sel yang sepatutnya menampung 20 orang terpaksa memuatkan sehingga 80 orang banduan.
“Banduan di sana terpaksa bergilir tidur kerana kekurangan ruang dan terpaksa berada dalam sel selama 18 hingga 19 jam setiap hari dengan lampu dinyalakan selama 24 jam bagi tujuan keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, penjara di Thailand juga mempunyai istilah ‘Cash is King’, di mana banduan yang mempunyai wang boleh mendapatkan pelbagai kemudahan seperti makanan tambahan dan barangan harian.
Keadaan penjara yang sesak dan kotor sering menerima kecaman dari pelbagai pihak termasuklah badan bukan kerajaan (NGO), namun, bagi kebanyakan warga Thailand, mereka percaya ini adalah balasan atau karma bagi kesalahan yang dilakukan.
Walau bagaimanapun, ini menunjukkan perbezaan yang jelas ketara antara penjara di Thailand dan juga di Malaysia. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan