"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki, wanita cuba langgar kenderaan polis diburu

Bernama

Polis memburu seorang lelaki dan wanita yang cuba melanggar kenderaan polis di R&R Tapah.
IPOH: Polis sedang memburu seorang lelaki dan wanita yang cuba melanggar kenderaan polis yang mahu menahan mereka di Hentian Rehat & Rawat (R&R) Tapah arah utara, semalam.

Ketua Polis Tapah Mohd Naim Asnawi berkata pihaknya menerima maklumat kira-kira 12 tengah malam daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang yang memaklumkan telah mengejar sebuah Perodua Myvi dari arah Kajang, Selangor sehingga ke hentian berkenaan.

“Kereta itu yang dinaiki dua suspek warga tempatan cuba melanggar kenderaan polis yang cuba menahan mereka di hadapan sebuah restoran makanan segera.

“Dalam usaha mempertahankan diri, pasukan polis terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah kenderaan suspek,” menurut kenyataan.

Bagaimanapun lelaki dan wanita itu berjaya melarikan diri dengan memandu kereta secara melawan arus di Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dan setibanya di Kilometer 332.5, mereka memberhentikan dan meninggalkan kenderaan lalu melarikan diri ke hutan berhampiran.

Naim berkata 10 anggota IPD Kajang cuba menahan lelaki dan wanita itu kerana disyaki terlibat kes pecah rumah di kawasan Kajang.

“Pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan IPK Perak ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan dan pihak IPD Tapah melancarkan Ops Tutup bagi mengesan kedua-dua suspek,” katanya.

Semakan mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang wanita warga tempatan manakala lelaki terbabit mempunyai 15 rekod jenayah lampau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil di balai polis berdekatan atau hubungi IPD Tapah menerusi talian 05-4011 222.

Tiada ulasan: