"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

24 tahun hidup dengan ibu bapa 'palsu'

Agensi

Beijing: Seorang wanita di utara China mendapati dia bukan anak kandung ibu bapanya selepas melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) disebabkan gurauan rakan sekerja yang mengatakan dia tidak kelihatan seperti penduduk tempatan.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, susulan keputusan ujian itu, pengguna media sosial China memberi galakan kepada wanita terbabit untuk mencari ibu bapa kandungnya.

Dalam temubual dengan stesen penyiaran Henan pada 24 Oktober lalu, wanita dikenali Dong, 24, itu berkongsi kisah bagaimana rakan sekerjanya sering mengulas mengenai penampilan dia yang berbeza.

"Saya tinggal di Xinxiang sepanjang hidup saya tetapi selepas mula bekerja, rakan-rakan saya selalu kata, 'awak tidak kelihatan seperti kami sama sekali. Hidung awak lebar, bibir awak tebal dan mata awak besar dan lebih dalam berbanding kami'.

"Mereka kata lagi 'awak tidak kelihatan seperti orang dari Henan langsung'," kata Dong mengimbas kembali komen rakan sekerjanya.

Terganggu dengan ulasan itu, Dong bertanya ibu bapanya namun mereka mengelak untuk menjawab, sebaliknya memberikan maklumat berkaitan kelahiran yang bercanggah.

Disebabkan rasa ingin tahu yang mendalam dan kekeliruan mengenai asal usulnya, Dong membuat keputusan untuk mengambil ujian genetik.

"Setiap malam saya berfikir, dari mana sebenarnya saya berasal," katanya.

Akhirnya, keputusan ujian menunjukkan dia berkemungkinan berasal dari wilayah Guangxi, terletak jauh di selatan China, sekali gus menafikan sebarang kaitan dengan Henan.

Selepas media melaporkan insiden itu, seorang wanita dengan nama keluarga Qi dari Guangxi menghubungi kerana mengesyaki Dong mungkin anaknya yang hilang sejak sekian lama.

"Ini kebetulan yang agak menarik kerana wanita muda itu juga (Dong) berusia 24 tahun (seperti anaknya yang hilang). Saya melihatnya dan merasakan dia mirip anak perempuan saya walaupun saya tidak pernah berpeluang melihatnya selepas dia dilahirkan.

"Saya mengalami kesakitan yang agak teruk selepas melahirkan dan menangis depan suami setiap hari, tertanya ke mana anak perempuan menghilang," kenang Qi.

Qi dan Dong mempunyai persamaan ketara termasuk ciri-ciri wajah yang serupa.

Nama didaftarkan kepada Dong juga mengandungi perkataan 'Lan', sama seperti nama anak perempuan Qi yang hilang.

"Jika ia benar-benar terbukti mereka adalah keluarga kandung saya, maka inilah berita yang paling menggembirakan saya," kata Dong.

Difahamkan ketika ini, Qi dan anak lelakinya sedang merancang perjalanan ke Henan bagi bertemu Dong.

Sukarelawan dari Baobei Huijia, pertubuhan kebangsaan yang aktif dalam pencarian orang hilang di wilayah Guangxi, turut dihubungi untuk membantu mengumpulkan sampel DNA dan menjalankan ujian buat pasangan berkenaan.

Tiada ulasan: