"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UMNO bakal bungkus kalau perjuangannya untuk pembebasan Najib

Perjuangan Umno untuk Najib halang reformasi dalaman penting, kata penganalisis

Lynelle Tham

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, reformasi struktur yang menyasarkan tadbir urus baik dan menangani rasuah diperlukan untuk mengembalikan kepercayaan pengundi.

Umno berazam terus memperjuangkan pembebasan bekas perdana menteri, Najib Razak selagi beliau dipenjarakan.
PETALING JAYA: Perjuangan berterusan Umno untuk mendapat keadilan buat bekas perdana menteri, Najib Razak menyebabkan parti itu terlepas pandang reformasi dalaman kritikal yang dapat meraih semula kepercayaan pengundi Melayu, menurut seorang penganalisis politik.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Umno begitu leka melihat siapa bertanggungjawab atas nasib Najib, namun ini tidak menangani kebimbangan umum mengenai rasuah dan salah guna kuasa dalam parti.

“Tindak balas lebih berkesan memerlukan reformasi sistemik yang memastikan amalan tadbir urus baik dilaksanakan, seterusnya mengelak skandal serupa berulang pada masa depan.

“Sebab itu prestasi dan tadbir urus kementerian yang diterajui Umno kini perlu dinilai,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, pengundi Melayu semakin berhati-hati dengan janji tidak ditepati dan mahu komitmen tulus terhadap integriti dan kebertanggungjawaban.

“Jika pembaharuan sekadar bersifat kosmetik dan tidak melibatkan perubahan struktur (dalam Umno) atau menunjukkan usaha serius untuk menangani punca utama rasuah serta salah guna kuasa, pengundi akan terus ragu-ragu.”

Pandangannya senada bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim yang berkata, Umno hanya dapat mengembalikan penguasaan dan kerelevanannya dengan “memperjuangkan reformasi sebenar untuk memastikan institusi cukup kuat bagi menghalang skandal 1MDB berulang”.

Zaid yang pernah mewakili Najib ketika rayuannya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kes SRC International dua tahun lepas, berkata Umno mesti berusaha mendedahkan punca sebenar skandal 1MDB.

Najib kini dibicarakan atas empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkannya membela diri atas semua tuduhan itu, selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Umno sebelum ini berazam terus berjuang untuk Najib selagi beliau dipenjarakan, malah Presidennya, Zahid Hamidi membayangkan melihat alternatif terhadap proses kehakiman untuk mendapatkan pembebasan Najib.

Asrul Hadi Abdullah Sani dari ADA Southeast Asia berkata, Umno boleh terus menyokong Najib, tetapi patut membiarkan mahkamah menyelesaikan skandal 1MDB untuk memastikan kes itu benar-benar “selesai” demi kepentingan negara.

“Fokus sepatutnya untuk memupuk pemimpin baharu dan memajukan diri,” katanya dengan menambah Umno perlu menghapuskan politik wang dan nepotisme.

“Parti juga mesti mempunyai keyakinan terhadap jentera akar umbi dan ahlinya bagi mengenal pasti kepimpinan baharu, bukan sekadar bergantung kepada kehebatan masa lalu atau mengharapkan pembebasan Najib bagi mengembalikan parti ke tahap sebelumnya.”

Tiada ulasan: